JENAYAH & MAHKAMAH

Ustaz Husam diperintah bela diri kes guna gelaran tidak diiktiraf

KANGAR – Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau Ustaz Husam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran kehormatan yang tidak diiktiraf.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berusia 36 tahun pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah kemudian memberi tiga pilihan kepada tertuduh untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi yang membolehkannya disoal balas pihak pendakwaan, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.

Ahmad Husam memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Peguam bela tertuduh, Datuk N Sivananthan, turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memanggil empat saksi bagi memberi keterangan dalam prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali. Mahkamah menetapkan 17 dan 18 Disember ini bagi prosiding membela diri.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 4 Mei 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4A(3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21), dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4A(6) Enakmen berkenaan, iaitu denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button