HIBURANRENCANA

‘Sebelah Hati’ – Luka seorang anak, dendam seorang ibu

ADA filem yang sekadar ditonton. Ada juga yang menyelinap masuk ke jiwa, perlahan-lahan merobek emosi dan meninggalkan kesan yang mendalam. Filem ‘Sebelah Hati’ boleh saya katakan berada dalam kategori kedua.

Dilancarkan pada hari pertama Ramadan oleh Al Irsyad Studio, Sebelah Hati bukan sekadar memilih tarikh tayangan, tetapi seolah-olah dihadirkan pada waktu paling sesuai untuk menyentuh hati yang sedang mencari makna.

Naskhah ini mempertaruhkan kelainan melalui penampilan pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam yang memegang watak utama.

Dalam Sebelah Hati, Husam membawa karakter seorang anak lelaki yang terputus kasih dengan ibunya selepas kematian bapa. Lebih perit, dia dianggap menjadi punca kepada tragedi tersebut.

Tuduhan itu bukan sekadar kata-kata, tetapi menjadi tembok yang memisahkan dua hati antara seorang ibu dan anak.

Ustaz Husam yang membawa watak utama sebagai anak lelaki yang berkonflik dengan ibunya (Wan Maimunah) digarap dengan baik bersama gandingan Noorkhiriah Shapie.

Gandingan Husam bersama dua pelakon hebat, Wan Maimunah dan Noorkhiriah Shapie menjadi nadi kekuatan filem ini.

Wan Maimunah, dengan renungan mata yang sarat beremosi, mempamerkan figura ibu yang menyimpan luka bertahun-tahun. Noorkhiriah pula menghidupkan konflik dengan intensiti yang cukup menyentuh.

Turut membintangi filem arahan Hisham Ismail ini ialah Zainol Ismail yang menambah warna kepada perjalanan cerita.

Secara teknikal, Sebelah Hati mungkin sederhana. Namun kekuatannya terletak pada emosi yang dibina.

Dialognya tidak terlalu bombastik, tetapi sarat makna. Setiap pertentangan antara ibu dan anak terasa nyata, seolah-olah memetik kisah yang mungkin pernah berlaku dalam kehidupan sebenar kita.

Konflik kekeluargaan yang digarap tidak berakhir dengan mudah. Penonton dibawa menyelami rasa bersalah, dendam terpendam dan kasih yang tidak pernah benar-benar padam.

Di sebalik segala pertikaian, kasih seorang ibu tetap menebal cuma tersembunyi di balik ego dan luka lama.

Menurut Ahmad Husam, karya ini bukan sekadar hiburan.

“Ia bukan sekadar filem namun ada mesej yang perlu diambil oleh penonton,” katanya yang berharap naskhah tersebut dapat dihayati sebaiknya.

Dan sememangnya, Sebelah Hati bukan filem yang sekadar mengisi masa. Ia mengingatkan bahawa dalam hubungan kekeluargaan, kadangkala yang paling sukar bukanlah memaafkan orang lain tetapi memaafkan diri sendiri.

Untuk mengetahui bagaimana rahsia di sebalik konflik itu akhirnya terungkai, penonton boleh menyaksikannya di YouTube.

Filem ini mungkin membuatkan anda menilai semula hubungan dengan insan tersayang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button