Sebagai ibu, saya tidak boleh terima anak-anak dibuli – Hannah
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak dapat menerima budaya buli yang berlaku di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Beliau berkata, sebagai seorang ibu perasaan itu lebih berat kerana beliau membayangkan penderitaan yang dialami anak-anak apabila menjadi mangsa buli.
“Saya tidak boleh terima jika anak-anak kita melalui pengalaman dibuli. Sebagai menteri, saya tidak akan berkompromi dengan budaya kekerasan di ILKBS.
“KBS sudah arahkan siasatan menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil.
“Setiap pelajar berhak belajar dalam suasana selamat dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum itu, tular rakaman video insiden buli membabitkan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 September lalu sekitar jam 4.30 petang di IKBN Miri.
Pihak pengurusan hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 22 September selepas tersebarnya rakaman video di media sosial.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataannya berkata, tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau buang institusi akan diambil terhadap pelaku mengikut peraturan semasa.
“KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia menyentuh isu keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas ILKBS.
“Tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi,” jelas kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








