BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hannah Yeoh minta DBKL perjelas garis panduan pemasangan pengecas EV

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memperjelaskan garis panduan yang digunakan dalam penempatan unit pengecas kenderaan elektrik (EV) di ibu negara.

Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh susulan aduan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terhadap pemasangan pengecas EV yang didakwa mengurangkan ruang parkir awam dan menghalang laluan pejalan kaki.

“Saya menyokong usaha DBKL mempromosi mod pengangkutan yang lebih bersih dan lestari, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan keselamatan dan keperluan harian penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : DBKL komited ke arah bandaraya cerdas, mampan dan inklusif

Menurut Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan, pemasangan beberapa unit pengecas EV di kawasan padat seperti TTDI dan Desa Sri Hartamas menimbulkan persoalan sama ada ia telah mengambil kira aspek keselamatan awam, perancangan bandar dan akses untuk pejalan kaki.

“Tinjauan awam mendapati pemasangan tersebut seolah-olah menceroboh laluan pejalan kaki serta mengurangkan jumlah parkir awam sedia ada. Ini memberi kesan kepada penduduk yang telah pun berdepan kekurangan ruang parkir,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hannah turut menekankan kepentingan pelaksanaan infrastruktur hijau yang tidak mengabaikan hak serta keselamatan komuniti setempat.

“Kita tidak boleh mengorbankan kesejahteraan penduduk demi mengejar kemajuan. Setiap projek perlu mengambil kira kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hannah mengingatkan agar penduduk agar Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) diwujudkan sebagai saluran rasmi perundingan antara komuniti dan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL.

“MPP sentiasa bersedia menjadi jambatan antara penduduk dan DBKL melalui dialog serta libat urus. Saya menggesa agar platform ini dimanfaatkan sepenuhnya supaya dasar dan projek pembangunan benar-benar mencerminkan keperluan rakyat,” katanya.

Semalam, portal Malay Mail melaporkan kegusaran penduduk TTDI yang membantah pemasangan beberapa unit pengecas EV di kawasan perumahan mereka kerana didakwa mengurangkan petak parkir awam dan menjejaskan keselesaan penduduk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button