SUKAN

Hannah Yeoh ucap tahniah kepada Shah Firdaus berjaya rangkul emas keirin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah kepada pelumba basikal trek kebangsaan, Shah Firdaus Sahrom, atas kejayaan luar biasa meraih pingat emas keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, semalam.

Hannah berkata, Shah Firdaus telah menunjukkan kekuatan hebat dengan berjaya meninggalkan pesaingnya dan meluru merentasi garisan penamat untuk mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya setakat ini.

“Shah telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pelumba terbaik di Asia, dan semoga beliau terus mencipta kejayaan besar tahun ini,” kata Hannah dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Semalam, pelumba berusia 30 itu berjaya merangkul pingat emas pertamanya dalam kejohanan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Dalam perlumbaan tersebut, Shah Firdaus tidak terburu-buru untuk mengemudi kelompok hadapan, sebaliknya beliau memulakan kayuhan di belakang empat pelumba lain.

Akhirnya, strategi pelumba kelahiran Muar, Johor itu berhasil apabila berjaya memintas kesemua pelumba pada selekoh terakhir perlumbaan.

Bagi tempat kedua, ia menjadi milik Sebastien Vigier dari Perancis, manakala wakil pelumba Jepun, Shinji Nakano meraih gangsa.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Shah Firdaus adalah apabila beliau berjaya merangkul pingat perak juga dalam acara keirin di Kaherah, Mesir pada Mac 2023 lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button