BERITA SEMASA

Program Tuition Mission Putrajaya 2026 perkasa pelajar, rapatkan jurang pendidikan

PUTRAJAYA – Program Tuition Mission Putrajaya 2026 (TMP 2026) diteruskan sebagai inisiatif strategik Perbadanan Putrajaya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan akses kepada kelas tambahan berkualiti secara percuma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha itu bertujuan memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan, di samping memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan saksama.

“Program ini bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya di sini hari ini.

hannah yeoh
Hannah Yeoh bersama pelajar-pelajar dari sekolah sekitar Putrajaya di program perasmian hari ini.

Program anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan serta kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu dibiayai melalui Peruntukan Pemberian Khas Wilayah Persekutuan 2026 bagi Program Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti.

Beliau berkata, TMP 2026 dirangka dengan skala lebih luas dan pendekatan yang diperkemas bagi membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Berdasarkan pencapaian sebelum ini, program TMP menunjukkan impak positif apabila empat pelajar memperoleh keputusan 9A dan seorang pelajar mendapat 8A dalam SPM 2025.,” katanya lagi.

Beliau berkata, menerusi program ini jumlah gred cemerlang meningkat 23 peratus kepada 161 calon berbanding 138 calon pada tahun sebelumnya, manakala kadar kelulusan keseluruhan turut meningkat sebanyak 8.3 peratus.

“Bagi tahun ini, seramai 150 pelajar daripada sembilan sekolah menengah harian di Putrajaya disasarkan menyertai program tersebut, dengan bimbingan 20 guru berpengalaman yang juga merupakan pembina Modul Kecemerlangan dan penggubal soalan di peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, para pelajar akan mengikuti kelas bagi empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, selaras dengan keperluan SPM di mana Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan subjek wajib lulus, manakala Matematik serta Bahasa Inggeris penting untuk peluang melanjutkan pelajaran.

“Melalui pendekatan berfokus, TMP 2026 menyasarkan pencapaian 100 peratus kelulusan dalam kalangan peserta, dengan setiap pelajar diharap mencapai sekurang-kurangnya gred C atau lebih baik bagi semua subjek,” katanya lagi.

Hannah turut berkata, selain kelas tuisyen mingguan, program itu turut merangkumi pelbagai pengisian seperti Program Kembara Ilmu, lawatan ke universiti tempatan, Program Pecutan Akhir SPM serta inisiatif baharu Pembelajaran Luar Kelas yang dijadualkan pada Sabtu kedua setiap bulan.

“Kelas akan dijalankan secara fizikal di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya bermula 5 Mei hingga 18 Oktober ini, melibatkan 30 sesi pembelajaran secara bergilir setiap Selasa dan Khamis.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat membantu pelajar membuat persediaan lebih mantap bagi menghadapi peperiksaan SPM akan datang,” katanya lagi.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi PPj di www.ppj.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button