Hakim Danish jadikan DNF GP Hungary pengajaran, fokus bangkit di GP Czech
KUALA LUMPUR – Meskipun tidak menamatkan perlumbaan pada Grand Prix (GP) Hungary, pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli tetap menganggap perlumbaan tersebut sebagai pengalaman berharga dalam proses mematangkan dirinya sebagai pelumba.
Pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas terbabit dalam insiden kemalangan pada pusingan pertama di Litar Balaton Park, semalam.
Menurut Hakim Danish, kejadian tersebut berpunca daripada pelanggaran oleh seorang pelumba lain dari belakang, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk meraih sebarang mata.
“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan awal. Namun, itulah asam garam dalam dunia perlumbaan motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hakim Danish tiba di Hungary dengan keyakinan tinggi selepas mencipta pencapaian terbaik karier apabila meraih podium Moto3 pertama pada GP Itali minggu lalu.
Walau bagaimanapun, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan cabaran Litar Balaton Park yang merupakan litar baharu baginya.
Pelumba kelahiran Terengganu itu turut gagal melayakkan diri ke sesi Kelayakan 2 (Q2) dan memulakan perlumbaan dari petak ke-19.
“Masih banyak aspek perlu saya perbaiki, baik dari segi tunggangan mahupun pemahaman terhadap litar. Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk terus berkembang dan kembali lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.
Tumpuan Hakim Danish kini beralih kepada Grand Prix (GP) Republik Czech yang dijadual berlangsung di Automotodrom Brno dari 19 hingga 21 Jun ini.
Selepas lapan pusingan perlumbaan, beliau kini menghuni tangga ke-10 keseluruhan carta Moto3 dengan mengumpul 48 mata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








