BERITA SEMASASUKAN

Pertembungan heavyweight: Fury beri amaran, Makhmudov tidak gentar

LONDON – Tumpunan peminat tinju dunia kini terarah ke Stadium Tottenham Hotspur apabila bekas juara dunia heavyweight, Tyson Fury bakal berdepan cabaran Arslanbek Makhmudov dalam pertarungan esok.

Fury berkata, beliau kini berada pada tahap kecergasan terbaik tanpa sebarang masalah kecederaan, selain sudah melengkapkan persiapan rapi bagi menghadapi pertarungan tersebut.

Petinju Britain itu turut menolak sebarang kelebihan fizikal yang dimiliki lawannya, sebaliknya yakin beliau mampu menguasai pertarungan dan mencatat kemenangan meyakinkan dengan menjatuhkan Makhmudov.

“Saya bersimpati dengannya kerana dia perlu berdepan Tyson Fury yang berada dalam prestasi terbaik. Dia tidak akan mampu mengelak dan saya akan menjatuhkannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fury turut memberi isyarat bahawa beliau masih berhasrat untuk terus mendominasi divisyen heavyweight dunia, malah memberi amaran kepada semua pemegang tali pinggang kejuaraan bahawa mereka berada dalam senarai sasarannya selepas ini.

Beliau juga mendakwa reputasinya sebagai antara petinju paling bernilai dalam sukan tersebut menjadikan setiap pertarungan melibatkan dirinya sebagai perhatian utama dunia, termasuk menerusi sokongan platform penstriman Netflix.

Sementara itu, Makhmudov menegaskan beliau tidak sedikit pun berasa gentar untuk berdepan Fury dalam aksi berkenaan.

“Saya tidak berasa tertekan kerana percaya telah dipersiapkan untuk detik ini sejak sekian lama. Malah pengalaman dalam pertembungan sebelum ini membantu saya mengawal emosi dan bersedia menghadapi cabaran terbesar dalam karier,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Fury turun ke gelanggang menyaksikan beliau tewas dalam pertarungan ulangan menentang Oleksandr Usyk pada Disember 2024.

Pertarungan terakhir Arslanbek Makhmudov pula berakhir dengan kemenangan ke atas Dave Allen pada 11 Oktober tahun lalu di Sheffield, United Kingdom.

Dalam aksi tersebut, Makhmudov mencatat kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri dengan mata 115–111, 117–109 dan 116–110, sekali gus merangkul gelaran WBA Inter-Continental heavyweight.

Ditanya mengenai potensi kekalahan yang boleh menamatkan kariernya, Makhmudov berkata, semuanya bergantung kepada bentuk kekalahan yang dialami.

Beliau berkata, jika beliau menang namun merasakan keputusan itu tidak adil dalam pertarungan yang panjang, situasi tersebut boleh memberi kesan tertentu, namun menegaskan pendekatan mentalnya kini adalah seperti berada dalam ‘medan perang’.

“Saya masuk ke dalam ini seperti perang, seperti saya akan mati. Ia semua atau tiada. Saya mula bertarung di jalanan dan amat penting untuk saya menang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button