JENAYAH & MAHKAMAH

Aliff Syukri diperintah bela diri atas tuduhan muat naik video sumbang

SEPANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk membela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang dengan niat menyakiti hati orang lain, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad menegaskan bahawa tindakan memuat naik video yang tidak sopan pada bulan Ramadan adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Makan di khalayak ramai di bulan puasa juga tidak sopan, apatah lagi memuat naik hantaran video di bulan puasa dengan menari liuk lentuk dan berpakaian wanita, ia tetap tidak sopan,” katanya lagi.

Susulan keputusan itu, mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk Aliff Syukri membela diri.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang menerusi akaun Instagram miliknya, @aliffsyukriterlajaklaris, dengan niat menyakiti hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan kandungan tersebut dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 24 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, pesalah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sebelum itu, klip video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri berdurasi lima minit 23 saat mencetuskan kontroversi apabila ia dianggap warganet sebagai mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button