BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Penolong Pegawai KEMAS didakwa kemuka dokumen palsu tuntutan kehadiran

SHAH ALAM – Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Pejabat KEMAS Daerah Hulu Langat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan kehadiran bertugas di Tabika KEMAS.

Tertuduh, Maheran Abd Malik, 54, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan utama, Maheran didakwa menggunakan pengesahan Borang Penilaian Pencapaian Output yang disyaki mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan kehadiran bertugas di Tabika KEMAS.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 2023 hingga 2024 ketika tertuduh bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS bagi Parlimen Ampang dan Pandan, Selangor, sebelum dokumen tersebut dikemukakan kepada pejabat KEMAS Negeri Selangor.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, selain berdepan lapan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam Suzanawati Ismail daripada firma Suzana Ismail & Partners.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button