BERITA SEMASA

Wanita mengaku anjur kutipan infaq palsu, salah guna wang

KUBANG KERIAN – Seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Wan Siti Zulaiha atau Mektiey secara terbuka mengakui telah melakukan penipuan kutipan dana infaq bagi beberapa program keagamaan dan kebajikan yang tidak wujud.

Menerusi hantaran di akaun Kalam Basyirah, beliau menjelaskan bahawa penganjuran majlis jamuan dan rawatan perubatan sebelum ini hanyalah rekaan semata-mata untuk meraih simpati dan sumbangan orang ramai.

Siti mendedahkan bahawa kutipan dana bagi majlis menjamu ulama ke sebuah pondok serta majlis jamuan hari raya melibatkan tiga buah pondok di Kelantan sebenarnya palsu.

“Saya telah menipu semuanya dan saya tidak mampu nak tebus bayar semuanya dengan nilai diterima.

“Saya memohon maaf kepada penderma dan memohon maaf kepada tiga nama pondok yang telah saya gunakan,” kata beliau menerusi hantaran akaun Facebook.

Beliau mendedahkan tiga nama institusi pendidikan agama yang disalahgunakan nama untuk tujuan rayuan infaq ialah Pondok Tok Kenali, Pondok Assobirin, serta Pondok Batu Hitam.

Selain penipuan melibatkan aktiviti pondok, beliau turut mengakui telah memalsukan maklumat mengenai rawatan saraf di sebuah klinik swasta bagi mendapatkan dana tambahan.

Segala butiran mengenai sesi rawatan dan kos perubatan yang dikongsikan kepada umum sebelum ini diakui sebagai rekaan sendiri untuk menarik perhatian penyumbang.

“Saya juga telah mempergunakan beberapa individu lain untuk mewakilkan saya meminta infaq kepada umum.

“Duit yang saya terima telah saya guna dan tidak dapat dipulangkan dalam masa yang cepat, namun saya berjanji akan berusaha memulangkannya semula semampu saya,” tambah beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button