MyKad palsu ancam keselamatan negara – JPN
PUTRAJAYA – Penggunaan MyKad palsu berpotensi mengancam keselamatan negara apabila ia membolehkan individu menyamar sebagai warganegara Malaysia dan menyusup ke dalam sistem keselamatan tanpa dikesan.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, keadaan itu membuka ruang kepada pengganas, penjenayah antarabangsa serta sindiket pemerdagangan manusia untuk melindungi identiti sebenar mereka.
“Individu yang menggunakan MyKad palsu sukar dikesan kerana beroperasi dengan identiti tidak sah, sekali gus menyukarkan proses siasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang.
“MyKad palsu boleh digunakan oleh individu asing atau penjenayah untuk menyamar sebagai warganegara Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada mereka masuk dan tinggal di negara ini tanpa dikesan serta melakukan jenayah yang boleh membahayakan keselamatan negara.
“Malah, penggunaan identiti palsu membolehkan individu tidak sah memasuki sistem pentadbiran negara, mengakses maklumat penting dan menjejaskan integriti sistem sedia ada,” memetik laporan BH online.
Badrul Hisham berkata, penyalahgunaan MyKad palsu juga memberi kesan kepada kebajikan rakyat apabila kemudahan seperti bantuan kerajaan, subsidi, rawatan percuma di hospital kerajaan dan pendidikan disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak.
Sehubungan itu, katanya, JPN melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras sindiket pemalsuan kad pengenalan.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah menggunakan, memegang atau menyimpan kad pengenalan palsu.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk menguruskan pendaftaran kad pengenalan dan orang ramai diminta berurusan terus dengan pejabat rasmi jabatan itu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







