JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki tempatan ditahan guna pasport palsu di KLIA

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga tempatan yang dikesan cuba keluar negara menggunakan pasport India milik individu lain dalam satu operasi khas pada 7 Disember lalu.

JIM berkata, operasi bermula jam 11 pagi itu dijalankan di dua lokasi iaitu KLIA Terminal 1 dan sebuah premis kediaman di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

“Operasi tersebut melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

‘Suspek lelaki berkenaan dikatakan dikesan di Kaunter Pemeriksaan Keluar KLIA Terminal 1 setelah pegawai imigresen mendapati dia menggunakan pasport India yang disyaki dipalsukan pada maklumat biodata atau mungkin milik individu lain.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan suspek sebenarnya warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tangkapan itu kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah kediaman di Jalan Kuching, yang menjadi lokasi kedua serbuan.

Di lokasi tersebut, seorang wanita warganegara India ditahan kerana tinggal lebih masa.

Wanita itu turut dipercayai cuba melarikan diri bersama MyKad milik suspek lelaki, namun tindakan tersebut berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.

Pasukan turut menyita dua pasport India, satu boarding pass dan sebuah telefon bimbit sebagai bahan bukti.

Suspek lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, manakala wanita warga India itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Selain itu, wanita tersebut juga akan disiasat oleh JPN di bawah Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Dua lagi individu, seorang lelaki dan seorang wanita warga Malaysia, turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM akan terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan demi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Langkah tegas ini penting bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara, selaras dengan hasrat kerajaan MADANI,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button