JENAYAH & MAHKAMAH

Warga UK didenda RM700 ceroboh kawasan larangan KLIA

SEPANG – Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki kawasan larangan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Polak Kendon, 57, seorang penulis bebas, selepas tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

“I do (mengaku salah),” kata Polak yang membayar denda itu bagi mengelakkan hukuman penjara selama sebulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Polak didapati memasuki kawasan larangan tanpa pas sah di Pintu C, Aras 5, Pelepasan Antarabangsa KLIA1, pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 8.46 malam hingga 8.47 malam.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Peguam tertuduh, Muhammad Aidil Akmal Sharidan, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan terdapat salah faham antara tertuduh dan pihak berkuasa lapangan terbang.

“Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah. Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini, malah sering berkunjung ke Malaysia dan amat menyayangi negara ini. Pada hari kejadian, beliau sedang transit dari Perth, Australia, ke Addis Ababa, Ethiopia, dan pasportnya masih sah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli memohon hukuman berbentuk pengajaran diberikan kepada tertuduh atas tindakan cerobohnya.

Berdasarkan fakta kes, Polak ketika itu berada di kawasan Airside Terminal sebelum bertindak memanjat E-Gate tanpa mengimbas pas masuk, menyebabkan kakinya tersepit. Insiden itu memaklumkan pihak polis bantuan yang kemudiannya menahan lelaki itu keesokan harinya.

Hukuman yang dijatuhkan diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan di kawasan larangan, khususnya di lapangan terbang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button