BERITA SEMASA

Roblox antara 10 permainan dalam talian bakal dilesenkan?

RAUB – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi bayangan keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox susulan insiden kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar dan ditikam abang sendiri dipercayai akibat pengaruh permainan itu.

Menurut Fahmi, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang meneliti mekanisme terbaik dan terpantas bagi mengawal selia permainan video terbabit yang mengundang kebimbangan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, lapor BERNAMA.

“Kita sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik. Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh,” katanya.

Tambahnya, kementeriannya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil permainan Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat.

“Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun, dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.

“Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah. Namun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya. Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, MCMC akan memanggil penyedia aplikasi OMI dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. SKMM sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia,” katanya.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan hanya untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti dilaksanakan secara berkesan.

“Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun ia masih belum cukup meyakinkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button