
Saringan anemia percuma kanak-kanak, berpeluang terima saguhati RM150
SHAH ALAM – Ibu bapa di sekitar Lembah Klang digesa membawa anak berusia tujuh hingga 11 tahun menjalani saringan anemia percuma menerusi Program Saringan Anemia dan Pencegahan Denggi pada 6 dan 16 September ini.
Program anjuran NGO MySKALA itu akan berlangsung di Dewan Dahlia, Seksyen 24, Shah Alam pada 6 September, manakala Dewan Residensi TNB, Kelana Jaya menjadi lokasi pada 16 September.
Program berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Kanak-kanak yang hadir bersama ibu atau bapa dan melengkapkan saringan berpeluang menerima saguhati sebanyak RM150, tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan.
Peserta turut akan menerima laporan makmal serta cadangan berkaitan pemakanan dan gaya hidup berdasarkan keputusan saringan.
Pengerusi MySKALA merangkap Penasihat Program, Fazrul Nizam Osman berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pengesanan awal anemia selain meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan denggi dalam kalangan keluarga dan komuniti.
Menurutnya, anemia kadangkala tidak disedari kerana kanak-kanak yang mengalaminya mungkin kelihatan sihat dan aktif tanpa menunjukkan gejala yang ketara.
“Paras hemoglobin yang rendah boleh menjejaskan keupayaan darah membawa oksigen ke seluruh badan dan dalam keadaan tertentu memerlukan perhatian serta tindakan susulan lebih awal,” katanya.
Selain saringan anemia, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap aspek pencegahan denggi yang masih menjadi ancaman kepada masyarakat.
Berdasarkan rekod portal rasmi iDengue pada 3 September lalu, sebanyak 339 kes denggi baharu direkodkan di seluruh negara, termasuk 124 kes di Selangor.
Denggi yang teruk boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk pendarahan dan sindrom kejutan denggi yang berpotensi mengancam nyawa.
Program berkenaan mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PELITAWANIS TNB, MPP Zon 8 Shah Alam dan MPP Zon 21 Kelana Jaya.
Selain saringan kesihatan, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut disediakan termasuk mini zoo oleh BrotherHood Reptiles, persembahan badut, Supa Doopa serta agihan aiskrim, makanan, minuman dan cenderamata kepada peserta.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi kod QR yang disediakan atau secara walk-in di lokasi program.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








