Wartawan wanita dakwa dipukul Polis Delhi, layanan lebih buruk selepas tahu mereka Muslim
NEW DELHI – Dua wartawan wanita mendakwa ditahan dan dipukul anggota Polis Delhi ketika membuat liputan satu acara di selatan Delhi, dengan dakwaan layanan lebih buruk selepas anggota polis mengetahui mereka beragama Islam.
Shaheen Khan dan Nafisa Khan yang bekerja dengan platform berita digital 4PM News Network mendakwa, mereka dipukul menggunakan kayu selain ditampar ketika berada di Balai Polis Saket.
Beberapa video yang memaparkan lebam dan kecederaan dialami kedua-dua wartawan itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kecaman daripada parti pembangkang, pertubuhan wartawan dan Majlis Akhbar India.
Menurut Shaheen, beliau dan Nafisa hadir untuk membuat liputan acara berkenaan serta cuba mendapatkan komen daripada Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta.

Bagaimanapun, mereka mendakwa dihentikan anggota polis sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saket. Nafisa turut didakwa mengalami kesukaran berjalan dan terpaksa diusung keluar dari balai berkenaan.
Dalam satu video yang disiarkan 4PM News Network, Shaheen dilihat menunjukkan kesan kecederaan pada tubuhnya sambil menceritakan kejadian yang didakwa berlaku ketika dalam tahanan.
Shaheen turut mendakwa seorang anggota polis bertanyakan namanya sebelum bertanya mengenai komuniti agamanya selepas mengetahui beliau menggunakan nama keluarga Khan.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk selepas anggota polis mengetahui beliau beragama Islam.
Shaheen mendakwa seorang anggota melihat panggilan masuk daripada individu bernama ‘Mohammed’ pada telefonnya sebelum berkata:
“Dia Muslim… pukul dua kali lagi dengan kayu.”
Kejadian itu berlaku pada Khamis ketika Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah dan Rekha Gupta menghadiri majlis perasmian sayap baharu di Max Smart Super Speciality Hospital, Saket.
Bagaimanapun, Polis Delhi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan menyifatkan kenyataan kedua-dua wartawan itu sebagai tidak tepat dari segi fakta, mengelirukan serta tidak berasas.
Polis mendakwa kedua-dua wanita itu dibawa ke Balai Polis Saket selepas mereka dipercayai menghalang laluan VVIP yang ditetapkan sempena acara berkenaan.

Kontroversi semakin memuncak selepas 4PM News Network menyiarkan video yang menunjukkan kecederaan dan lebam pada tubuh kedua-dua wartawan terbabit, yang kemudiannya dikongsi secara meluas oleh pemimpin politik serta organisasi berita.
Kelab Akhbar India, Indian Women’s Press Corps, Delhi Union of Journalists, Press Association dan Kerala Union of Working Journalists dalam kenyataan bersama mengecam apa yang disifatkan sebagai serangan kejam terhadap kedua-dua wartawan wanita itu.
Mereka menggesa tindakan tegas diambil terhadap anggota polis yang terbabit, termasuk pegawai bertanggungjawab di balai berkenaan, selain meminta Pesuruhjaya Polis Delhi, Anurag Kumar, mengarahkan siasatan yang bebas dan adil.
Jurucakap Kongres, Pawan Khera menyifatkan rakaman video kejadian itu sebagai ‘mengerikan’ sambil mempersoalkan sama ada Delhi sedang menuju ke arah sebuah ‘negara polis’.
Parti Kongres turut menyebarkan video berkenaan dan menuduh kerajaan BJP serta Polis Delhi menahan dan menyerang Shaheen selepas beliau cuba mendapatkan jawapan daripada ketua menteri.
Parti itu mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








