Jangan takut kibar Jalur Gemilang, semak dulu sebelum pasang – Aaron
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu memastikan penggunaannya dilakukan dengan betul dan penuh rasa hormat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, malah menjadi lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara yang perlu dihormati semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Sekretariat Rukun Negara akan meningkatkan usaha memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tatacara penggunaan serta pemasangan Jalur Gemilang yang betul.
“Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Kibar dengan bangga. Namun, sentiasalah faham, peka dan semak sebelum mengibarkannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Aaron berkata, kesilapan yang berlaku secara tidak sengaja seharusnya dijadikan peluang untuk mendidik masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghormati lambang negara.
Bagaimanapun, katanya, tindakan yang sengaja dilakukan bagi menghina atau memperlekehkan Jalur Gemilang perlu ditangani berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan imej Jalur Gemilang di media sosial, khususnya kandungan yang dihasilkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Teknologi AI masih boleh menghasilkan imej bendera yang tidak tepat, termasuk kesilapan pada bilangan jalur, susunan warna, bulan dan bintang atau kedudukan bendera.
“Setiap pengguna mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kandungan sebelum diterbitkan atau dikongsi.
“Teknologi harus membantu menyemarakkan patriotisme, bukan menjadi alasan untuk kita mengabaikan ketepatan lambang negara,” katanya lagi.
Aaron turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tertakluk di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Beliau berkata, penghormatan terhadap Jalur Gemilang merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan lambang negara itu terus menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia.
“Marilah kita menjadikannya sebagai simbol yang terus menyatukan rakyat Malaysia serta mendidik generasi seterusnya untuk mencintai, menghormati dan mempertahankan maruah negara,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru rakyat supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, hormat dan penuh tanggungjawab sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








