KPN kemuka 21 inisiatif bina negara bangsa dalam RMK-13
SIBU – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan pembinaan negara bangsa sebagai fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan mengemukakan 21 inisiatif strategik kepada Kementerian Ekonomi untuk dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan nasional.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pembinaan negara bangsa merupakan keutamaan bagi memastikan perpaduan nasional dapat diperkukuh secara mampan dalam jangka panjang, selari dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya.
“Kementerian kini sedang merangka satu kerangka komprehensif ke arah pembinaan negara bangsa sebagai matlamat akhir perpaduan nasional yang juga merupakan usaha jangka panjang untuk menguatkan jati diri kebangsaan dalam hati dan jiwa setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu.
Sambutan peringkat negeri Sarawak itu merupakan kesinambungan kepada gelombang perpaduan yang digerakkan di peringkat kebangsaan.
Antara pengisian menarik sepanjang sambutan ialah sukan rakyat, senam perpaduan, pertandingan bertandak/nopeng, tayangan filem patriotik, dialog antara kaum, serta pameran kebudayaan dan agensi kerajaan yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut KPN, program itu memberi ruang kepada masyarakat untuk menyemai semangat kekitaan dan memperkukuh akar perpaduan yang menjadi teras kepada keharmonian negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








