KPN lancar pelan strategik baharu perkukuh perpaduan negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Pelan Strategik KPN 2026-2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 sebagai dokumen rujukan utama bagi memperkukuh perpaduan negara serta memacu agenda transformasi digital kementerian dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kedua-dua pelan tersebut dirangka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan mandat kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan pembinaan negara bangsa sebagai asas kepada perpaduan nasional yang mampan.
Menurut beliau, Pelan Strategik KPN 2026-2030 mengandungi lima teras, 12 strategi dan 33 inisiatif yang memberi fokus kepada usaha memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh tapak integrasi sosial serta melestarikan khazanah warisan negara.
“Lima teras utama yang digariskan ialah Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan serta Tadbir Urus Organisasi dan Komunikasi.
“Pelan ini menjadi panduan strategik kementerian dalam memperkukuh perpaduan dan mengukuhkan identiti negara bangsa dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPN hari ini.
Beliau berkata, sebagai pembaharuan, pelan tersebut turut memperkenalkan penggunaan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) bagi memantau pelaksanaan setiap strategi dan inisiatif secara lebih sistematik, objektif serta berasaskan impak.
Dalam masa sama, Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 merangkumi tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram yang bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital kementerian.
Menurut Aaron, pelan pendigitalan itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekosistem perkhidmatan digital bersepadu, pengukuhan infrastruktur digital yang selamat dan berteknologi terkini serta pemantapan tadbir urus digital dan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Pada majlis sama, beliau turut menekankan peranan Jabatan Muzium Malaysia dalam memperkasakan institusi permuziuman negara menerusi kerjasama lebih luas dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan korporat melalui Geran Padanan Muzium.
Aaron turut mencadangkan pewujudan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang menghimpunkan maklumat koleksi muzium di seluruh negara bagi mewujudkan ekosistem permuziuman yang lebih sistematik dan berdaya saing.
Selain itu, beliau menggesa Jabatan Muzium Malaysia mempergiatkan Kempen Derma Koleksi bagi menggalakkan orang ramai menyumbangkan artifak, dokumen, gambar, manuskrip dan bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan untuk dipelihara bagi generasi akan datang.
Menurut beliau, sehingga kini Jabatan Muzium Malaysia merekodkan sebanyak 437,242 koleksi artifak dan bahan warisan di bawah simpanannya.
Beliau turut menyeru agar strategi promosi dan komunikasi muzium diperkukuhkan dengan pendekatan yang lebih dekat dengan generasi muda melalui kandungan kreatif dan inovatif, selain meneruskan usaha transformasi digital termasuk pembangunan pengalaman imersif di Muzium Negara serta Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








