BERITA SEMASA

Sejarah jangan diputar belit, jadi asas perpaduan negara – Mordi

KUCHING – Hari Malaysia bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya menjadi simbol penyatuan hati rakyat serta semangat setiakawan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun wajar dijadikan peringatan tentang pengorbanan dan kesepakatan semua pihak, khususnya negeri-negeri Borneo yang memainkan peranan penting dalam pembentukan negara.

“Sejarah Malaysia mesti mencerminkan keseluruhan kisah negara, termasuk sumbangan Sabah dan Sarawak. Ia bukan sahaja membentuk jati diri, malah mengukuhkan semangat perpaduan dan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia ke-62 hari ini.

Menurut beliau, subjek Sejarah yang diajar di sekolah perlu dikemas kini agar disampaikan secara objektif, adil dan inklusif supaya generasi muda benar-benar memahami erti pembentukan Malaysia.

Katanya, jika kandungan Sejarah gagal menampilkan peranan sebenar negeri-negeri Borneo, ia boleh menjejaskan semangat kenegaraan serta menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.

“Sejarah bukan hanya untuk lulus peperiksaan. Ia adalah asas kepada jati diri nasional. Tanpa kefahaman yang tepat, kita berisiko terperangkap dengan naratif yang diputar belit demi kepentingan politik,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mordi menggesa Kementerian Pendidikan menyemak semula silibus Sejarah secara menyeluruh dengan melibatkan sejarawan bebas, ahli akademik serta wakil masyarakat dari Sabah dan Sarawak agar pengajaran lebih menyeluruh serta tidak berat sebelah.

Beliau turut berkata, Hari Malaysia perlu diraikan sebagai hari yang menyatukan hati rakyat, bukan sekadar upacara peringatan tahunan, kerana tanpa semangat perpaduan, Malaysia tidak mungkin mencapai kestabilan dan kemajuan seperti hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button