BERITA SEMASA

Kementerian Perpaduan sempurnakan lapan program RKB, bukti komitmen reformasi birokrasi

PUTRAJAYA – Lapan Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjaya disempurnakan sepenuhnya sepanjang 2025, sekali gus menandakan komitmen kementerian itu terhadap agenda pembaharuan pentadbiran negara.

Dalam satu kenyataan, KPN memaklumkan, RKB merupakan inisiatif kerajaan bagi menyemak dan menambah baik peraturan serta proses birokrasi yang membebankan rakyat dan perniagaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Antara program yang berjaya dilaksanakan KPN melalui RKB ialah Pembangunan Sistem Permohonan Peruntukan Kewangan (ePantas); Pembangunan Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan; Penambahbaikan Proses Penilaian dan Pemilihan RT Progresif; Sistem Pembelajaran Kendiri Literasi Media dan Maklumat (e-LMM).

Turut dilaksanakan, penggunaan kod qr bagi pengkatalogan dalam penerbitan (PdP); PNMNEWSHUB – Pangkalan Data Surat Khabar Koleksi Negara; Sistem Tempahan Bilik Karel (QuickKarel); dan QUICKSBOOK2U@PNM.

Selain itu, Sistem ePantas, dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh Bahagian Kewangan dan Pembangunan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Maklumat KPN, bagi menambah baik proses permohonan peruntukan kewangan yang sebelum ini dijalankan secara manual.

“Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan pula diwujudkan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan permohonan bantuan kewangan bagi program-program perpaduan yang dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPN, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, kementerian komited menyahut aspirasi Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, inklusif dan berpaksikan rakyat melalui reformasi sistemik dan lestari.

Menurut beliau, kejayaan itu merupakan hasil dedikasi seluruh warga KPN termasuk jabatan dan agensi di bawahnya yang beriltizam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Jelasnya, kejayaan pelaksanaan RKB di KPN membuktikan kesungguhan kementerian memastikan semua peraturan dan prosedur dikemas kini agar kekal relevan, produktif dan efektif.

“Usaha ini selaras dengan matlamat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024–2030 yang menekankan tadbir urus unggul, peningkatan keberkesanan perkhidmatan dan pemerkasaan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut mencapai satu lagi kejayaan apabila tempoh penilaian dan pemilihan Rukun Tetangga (RT) Progresif dipendekkan daripada 90 hari kepada hanya 30 hari.

Bagi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), perkhidmatan digital seperti e-LMM, PdP, PNMNEWSHUB, QuickKarel dan QUICKSBOOK2U@PNM selaras aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam serta usaha memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat secara inklusif tanpa batasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button