BERITA SEMASA

Industri buku negara terus rancak, pendaftaran ISBN kekal tinggi

PUTRAJAYA – Industri buku negara terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pendaftaran International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN) kekal tinggi, sekali gus mencerminkan ekosistem penerbitan yang aktif dan dinamik.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bagi tahun 2025, sebanyak 23,485 ISBN dan 304 ISSN direkodkan, manakala tahun 2024 mencatatkan 24,017 ISBN dan 245 ISSN.

“Statistik ini sekali gus menunjukkan penerbitan bahan ilmiah serta bacaan umum terus berkembang seiring peningkatan permintaan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aaron, perkembangan positif itu bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan industri penerbitan, malah memperkukuhkan usaha kerajaan dalam memperkasakan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia selaras aspirasi melahirkan masyarakat berilmu menjelang matlamat Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.

Beliau berkata, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai Pusat Kebangsaan ISBN dan ISSN terus memainkan peranan strategik dalam menyokong industri berkenaan.

“Antara usaha yang dijalankan adalah melalui penyediaan perkhidmatan piawaian antarabangsa yang memudahkan penerbitan, pengedaran serta pengiktirafan bahan terbitan di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron berkata,
kementeriannya kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak termasuk penerbit, penulis, institusi pendidikan dan komuniti,

“Segala usaha ini bagi memastikan budaya membaca terus subur dan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat MADANI yang berilmu, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button