BERITA SEMASA

JK Harmoni gesa henti polemik agama, sokong tindakan tegas PDRM, MCMC

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) memandang serius polemik isu agama yang berterusan kebelakangan ini sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Jawatankuasa yang menghimpunkan ilmuwan dan wakil agama daripada Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao serta Baha’i itu berkata, semua pihak perlu menghentikan serta-merta sebarang polemik dan provokasi berkaitan isu agama.

“Perkara sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak wajar dipermainkan atau dimanipulasi untuk sebarang kepentingan sempit kerana ia hanya akan mengundang ketegangan serta merosakkan keharmonian yang sekian lama dibina.

“Kami sebulat suara menyeru agar semua pihak menghentikan serta-merta sebarang polemik dan provokasi berkaitan isu agama serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif melibatkan 3R.

“Isu-isu ini tidak wajar dipermainkan atau dimanipulasi untuk apa jua kepentingan kerana ia hanya akan mengundang ketegangan dan merosakkan keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JK Harmoni turut menegaskan pendirian keras dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk provokasi, pelecehan, penghinaan atau perbuatan mempermainkan agama oleh mana-mana pihak.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan kebencian dan prasangka, malah berpotensi menggugat perpaduan serta kestabilan negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan provokasi agama selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pendekatan yang mencetuskan kebencian dan perpecahan mesti ditolak sepenuhnya.

“Kepelbagaian agama di Malaysia adalah kekuatan serta asas kepada kestabilan negara.

“Jangan sesekali menggadaikan keamanan yang kita kecapi hanya kerana emosi, salah faham atau perbezaan pandangan yang sepatutnya diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan undang-undang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JK Harmoni turut menyeru semua pihak kembali ke meja rundingan dan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap setiap isu yang timbul.

Menurutnya, setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaian sekiranya ditangani dengan hikmah dan rasa tanggungjawab, selain memperkukuh nilai kebersamaan, saling memahami, menghormati serta meraikan perbezaan sebagai teras kehidupan bermasyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button