Mufti Pulau Pinang tegur trend tudung dedah telinga, leher
GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menegur trend pemakaian tudung yang menampakkan bahagian telinga dan leher serta dililit ke belakang tengkuk kerana dikhuatiri mengelirukan masyarakat mengenai tuntutan sebenar menutup aurat.
Beliau berkata, perkembangan positif apabila semakin ramai artis dan figura awam memilih untuk berhijab serta tampil dengan imej lebih sopan sewajarnya dihargai.
Bagaimanapun katanya, terdapat gaya bertudung yang semakin menjadi trend apabila tudung sekadar diletakkan di kepala, sedangkan bahagian telinga dan leher masih terdedah selain tidak menutupi dada dengan sempurna.
“Lebih membimbangkan apabila gaya sebegini menjadi trend dan mula ditiru anak muda. Persoalan ini bukan semata-mata soal fesyen, sebaliknya berkaitan kefahaman masyarakat terhadap tuntutan menutup aurat,” katanya.
Menurutnya, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka menutupkan tudung kepala mereka ke bahagian dada mereka.”
Jelas beliau, pemakaian tudung bukan sekadar meletakkan kain di atas kepala, sebaliknya terdapat tuntutan syarak yang perlu dipelihara.
“Rambut, telinga dan leher termasuk bahagian aurat wanita yang perlu ditutup di hadapan lelaki ajnabi, manakala tudung hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi bahagian dada.
“Kita tidak pertikai kreativiti dalam berfesyen. Islam tidak menghalang seseorang tampil kemas, cantik dan mengikuti perkembangan semasa, tetapi fesyen hendaklah tunduk kepada syariat, bukan syariat diubah untuk menyesuaikan diri dengan fesyen,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mohd Sukki turut mengingatkan artis dan pempengaruh supaya menyedari kedudukan mereka yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat, khususnya golongan muda.
Katanya, apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dipaparkan figura awam berpotensi menjadi ikutan ratusan ribu malah jutaan pengikut.
“Apabila seorang artis menggayakan tudung dengan cara tertentu, esok mungkin ribuan remaja mengikutinya.
“Apabila sesuatu gaya dilakukan berulang kali oleh ramai figura terkenal, lama-kelamaan ia boleh dianggap normal dan diterima sebagai gambaran pemakaian Muslimah yang menepati syariat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, teguran agamawan terhadap perkara berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai usaha mencari kesalahan artis atau mencampuri kehidupan peribadi mereka.
“Tugas agamawan bukan menghukum manusia tetapi menjelaskan sempadan agama apabila ia semakin kabur.
“Kita bimbang jika perkara yang tidak menepati tuntutan menutup aurat dibiarkan tanpa penjelasan, generasi muda akhirnya tidak lagi dapat membezakan antara ‘memakai tudung’ dengan ‘menutup aurat’,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







