Belum mampu tunai haji bukan berdosa, RM15,000 bukan ukuran mutlak istito’ah – Mufti P. Pinang
KUALA LUMPUR – Orang Islam yang belum mampu menunaikan ibadah haji tidak seharusnya berasa dirinya berdosa atau menganggap pintu Baitullah tertutup buat mereka kerana kewajipan itu belum tertanggung selagi syarat istito’ah atau kemampuan menurut syarak belum dipenuhi.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, kemampuan menunaikan haji tidak boleh diukur berdasarkan jumlah simpanan semata-mata, termasuk penetapan simpanan minimum RM15,000 dalam Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, penilaian istito’ah turut mengambil kira keperluan asas seseorang, nafkah tanggungan, kesihatan, keselamatan serta kemampuan sebenar untuk sampai ke Tanah Suci dan melaksanakan ibadah haji.

Katanya, seseorang yang mempunyai simpanan RM15,000 belum tentu dianggap benar-benar mampu sekiranya wang berkenaan merupakan satu-satunya simpanan bagi menampung keperluan asas keluarga, rawatan, pendidikan anak atau membayar hutang.
“RM15,000 boleh menjadi satu mekanisme pentadbiran bagi menilai kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah, tetapi ia tidak boleh disamakan secara mutlak dengan definisi kemampuan menurut syarak.
“Dalam fiqh, perbelanjaan haji hendaklah merupakan kemampuan yang melebihi keperluan asas dirinya dan mereka yang wajib dinafkahinya, mengikut perincian yang dibahaskan fuqaha,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, TH menetapkan pendeposit yang mencapai simpanan minimum RM15,000 akan layak secara automatik berada dalam giliran menunaikan ibadah haji menerusi sistem kelayakan baharu yang akan bermula 1 Januari 2029.
Pendekatan itu diperkenalkan menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah yang dilancarkan TH bagi menggalakkan umat Islam membuat persediaan kewangan lebih awal, konsisten dan terancang.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, prinsip kemampuan juga bermakna seseorang tidak sepatutnya memaksa diri menunaikan haji sehingga menyebabkan isteri dan anak-anak terabai dari segi nafkah atau keluarga berdepan kesempitan kewangan yang serius.
“Islam tidak mengajar seseorang menjual segala-galanya, mengabaikan keluarga atau berhutang sehingga membebankan semata-mata untuk mengejar gelaran ‘haji’. Haji ialah ibadah kepada Allah, bukan simbol status sosial,” katanya.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, kemampuan kewangan juga perlu dilihat bersama faktor lain seperti kuota, giliran dan kebenaran untuk menunaikan haji kerana seseorang yang mempunyai wang mencukupi tidak semestinya boleh terus berangkat pada tahun berkenaan.
“Justeru, terdapat perbezaan antara kemampuan kewangan untuk menunaikan haji dengan kemampuan sebenar untuk sampai ke Tanah Suci serta melaksanakan haji melalui sistem yang sah,” katanya.
Beliau berkata, status kemampuan seseorang juga boleh berubah mengikut keadaan semasa apabila pendapatan meningkat, simpanan bertambah atau menerima bantuan dan tajaan yang mencukupi.
Justeru, apabila keadaan tersebut berlaku, seseorang perlu menilai semula status kemampuan dirinya berdasarkan keseluruhan keperluan dan tanggungan, bukan hanya jumlah wang yang berada dalam akaun TH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







