400 jemaah haji B40 tolak subsidi TH
KUALA LUMPUR – Seramai 400 jemaah haji terdiri daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan subsidi menolak tawaran tersebut atas sebab berkemampuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Mohd Na’im, keputusan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada jemaah lain yang lebih memerlukan pakej bantuan subsidi tersebut.
“Mereka menolak subsidi itu sebaliknya serahkan bahagian mereka kepada jemaah lain lebih layak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada golongan ini kerana membuat keputusan tidak terima subsidi demi manfaat penerima lain.
“Ini sedikit sebanyak membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan bantuan kepada benar-benar memerlukan,” ulasnya terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berhubung pemberian subsidi bersasar.
Beliau berkata demikian selepas Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut memaklumkan jemaah T20 sudah dikecualikan daripada menerima bantuan kewangan haji secara bersasar daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sejak Musim Haji 1444H/2023M, Mei lalu.
Menurutnya lagi, pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun terdahulu iaitu dipecahkan kepada tiga kelompok membabitkan B40, M40 dan T20.
“Ada kategori jemaah T20, mereka memang tak dapat subsidi dan perlu bayar penuh kos menunaikan haji.
“Ini memang sudah kita laksanakan (musim haji tahun ini),” jelasnya.
Untuk rekod, pada tahun ini, jemaah B40 perlu membayar RM11,980 dan RM15,980 bagi kumpulan M40 manakala T20 berpendapatan lebih RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuhnya.
Bagaimanapun, kerajaan menanggung kenaikan kos haji sebanyak RM1,000 bagi kumpulan B40 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar RM10,980 iaitu kadar yang sama seperti tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








