Ustazah Asma tegur kandungan video muzik Dolla, dakwa bercanggah nilai sopan negara
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun menegur kumpulan penyanyi wanita, Dolla susulan tularnya sebuah video muzik baharu yang disifatkan sebagai tidak bermoral serta bertentangan dengan nilai kesopanan negara.
Menurut beliau, kandungan video berkenaan memaparkan pakaian ketat, aksi mengghairahkan dan pergerakan tarian yang tidak sesuai untuk tatapan umum, apatah lagi apabila salah seorang anggotanya merupakan wanita Islam.

“Seni apa yang dibina atas aksi memalukan begini? Kemajuan apa yang dibina atas dosa? Kemodenan apa yang dibina atas runtuhnya rasa malu?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, video itu bukan sahaja melampaui batas malah menyerupai bentuk hiburan yang lazimnya terdapat di ‘laman gelap atau kelab hiburan’ namun kini dipertontonkan secara terbuka dan dipromosikan atas nama seni.
Tegasnya, tindakan sebegitu mencemar imej Malaysia sebagai negara yang berpegang pada prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seperti termaktub dalam Rukun Negara.
“Bagi saya, videonya amat tidak bermoral. Ia memalukan wanita Islam, memalukan negara bernama Malaysia, negara Islam. Lebih perit apabila ada yang mempertahankannya dengan pujian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mengenai bahaya budaya hiburan yang melanggar batas agama apabila dipuji, ditonton dan dijadikan trend dalam kalangan remaja.
Katanya, apabila artis yang mempertontonkan aksi menggoda, berpakaian menjolok mata dan menari secara ghairah disanjung sebagai ‘Malaysia’s pride’, ia membentuk ideologi songsang dalam kalangan generasi muda.
“Lahir generasi yang bertuhankan hawa nafsu: ‘Yang penting aku enjoy… aku dapat vibes positif’. Yang sedang bergelora adalah hawa nafsu,” jelas beliau.
Ustazah Asma turut menegaskan prinsip seperti ‘You do you’ dan ‘Live your truth’ tanpa panduan agama membuka laluan kepada kehidupan tanpa sempadan.
Mengulas pandangan netizen yang meminta orang ramai ‘tidak mencampuri urusan’ artis tersebut, beliau menegaskan konsep itu tidak terpakai terhadap maksiat yang dilakukan secara terbuka.
“Ini bukan lagi urusan peribadi. Ini fitnah kepada masyarakat. Diam terhadap maksiat terbuka bukan tanda kebaikan, ia adalah permulaan keruntuhan masyarakat,” katanya sambil merujuk kewajipan mencegah kemungkaran.
Beliau menegaskan teguran itu dibuat atas rasa tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat, bukannya kebencian terhadap mana-mana individu atau kumpulan.
“Kalau kita terus memuji apa yang merosakkan, maka kitalah yang merosakkan generasi kita sendiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru Dolla supaya menghasilkan karya yang lebih bermaruah dan tidak bergantung kepada pendedahan tubuh serta aksi menggoda untuk meraih perhatian.
“Malaysia tidak perlukan hiburan yang menjatuhkan maruah wanita untuk maju. Ramai artis antarabangsa berjaya tanpa menayang tubuh,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Ustazah Asma menggesa masyarakat menghentikan sokongan terhadap kandungan yang melanggar nilai agama dan adab sambil mengingatkan bahawa budaya akan mati apabila tidak lagi ditonton dan dipuji.
“Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan mengembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik dan diredhai,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








