BERITA SEMASAHIBURAN

Irama dangdut perlu kekal sopan, pilih kata berlapik – Fedtri Yahya

KUALA LUMPUR – Irama dangdut tempatan yang sekian lama dikenali dengan kesantunan bahasa dan kehalusan kiasan wajar terus dipelihara agar tidak terpesong daripada nilai budaya serta norma masyarakat Malaysia.

Demikian tegas pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya yang meluahkan kekecewaan terhadap kecenderungan sebahagian lagu dangdut masa kini yang semakin berani menormalkan penggunaan kata-kata berunsur lucah sekali gus bercanggah dengan jati diri seni muzik tempatan.

Menurut Fedtri, kekuatan dangdut Malaysia terletak pada pemilihan kata yang sopan serta penggunaan kiasan yang indah, sebagaimana dipraktikkan oleh penggiat seni terdahulu.

“Setahu saya, dangdut Malaysia ini bersifat santun dan bahasanya berlapik, hasil ketegasan penapisan lagu suatu ketika dahulu.

“Lagu-lagu klasik menggunakan kiasan meminang dengan begitu indah tetapi hari ini saya sendiri berasa kurang selesa apabila membaca lirik dangdut yang tular,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab di GSC Mid Valley Megamall, malam tadi.

Menurut Fedtri, keadaan itu menjadi lebih janggal apabila lagu-lagu terbabit diperdengar dalam suasana kekeluargaan sedangkan terdapat perkataan yang membawa dua maksud serta menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Bayangkan kita berada bersama keluarga, namun penyanyi melontarkan kata-kata yang mempunyai maksud tersirat dan kurang sesuai. Ada juga yang jelas membawa elemen tidak sopan,” katanya lagi.

Beliau yang berpengalaman luas dalam penulisan lirik dan pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi tersohor menegaskan pandangannya lahir daripada keprihatinan terhadap hala tuju muzik tempatan, bukannya keinginan mencetuskan polemik.

“Sebagai pengkarya lama, saya berasa kecewa. Tidak perlu melakukan apa yang dianggap sebagai ‘revolusi dangdut’ dengan membawa elemen sebegini.

“Seni kata itu sendiri menuntut adanya nilai dan kehalusan dalam setiap perkataan,” tegasnya.

Mengimbau perkembangan dangdut pada era 1990-an, Fedtri berkata, lirik ketika itu lebih murni dan tertumpu kepada tema cinta serta kerinduan yang bersih, berbanding kecenderungan hari ini yang dilihat sengaja mencetuskan sensasi.

“Saya kecewa apabila elemen luar mula dibawa masuk. Dahulu, dangdut kita sederhana dan indah.

“Kini ada yang mencipta sensasi melalui lirik yang mengundang perdebatan, kemudian mengharapkan kefahaman orang ramai. Kita perlukan ketegasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan kawalan dan garis panduan yang jelas bagi memastikan industri muzik tidak tersasar daripada landasan asal sekali gus memelihara maruah seni dan masyarakat.

“Kita bukan mahu menghukum tetapi memberi kesedaran. Apabila ada batasan, penggiat seni mungkin kembali dengan imej dan karya yang lebih mulia.

“Ini penting demi menjaga maruah seni dan masyarakat,” katanya.

Fedtri turut berkongsi pengalaman beliau bertanyakan rahsia penghasilan lirik berkualiti kepada tokoh seni tersohor seperti Datuk M Nasir dan Datuk Habsah Hassan, yang menurutnya menekankan kepentingan nilai rohani dalam berkarya.

“Jawapan mereka adalah bermunajat kepada Ilahi untuk mendapatkan ilham. Itu membuktikan seni kata lahir daripada jiwa dan nilai, bukan sekadar susunan kata kosong,” katanya.

Terdahulu, isu lirik lagu dangdut tempatan kembali menjadi perhatian selepas seorang penyanyi wanita mencetuskan kontroversi berhubung kandungan lirik yang didakwa membawa maksud tersirat dan kurang sesuai dengan khalayak tempatan, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Perkara itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang memandang serius penularan lirik lagu berunsur tidak sopan dan bercanggah dengan nilai akhlak serta adab masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button