BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kelantan rekod 65 keterangan kes ceramah Nik Zawawi hina sahabat Nabi

KOTA BHARU – Polis merekodkan sebanyak 65 keterangan termasuk daripada Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berhubung siasatan terhadap kenyataan didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya menerima 63 laporan polis dari seluruh negara termasuk di Kelantan berkaitan isu berkenaan.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

“Untuk kes berkenaan kita membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih lagi berjalan dan 65 keterangan diambil setakat ini termasuk pengadu yang membuat laporan polis.

“Alhamdulillah kesemua pengadu termasuk Nik Zawawi memberi kerjasama baik. Malah, kenyataan Nik Zawawi juga perlu dirujuk kepada pakar agama,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

BACA JUGA:

Dakwaan hina sahabat: Dewan Ulama PAS akui terdapat kenyataan tidak tepat ceramah Nik Zawawi

Dakwaan hina sahabat: Nik Zawawi akui kurang cermat, mohon maaf atas kekhilafan

NGO Islam lapor polis dakwa Nik Zawawi hina sahabat Rasulullah

Kabinet kecam keras Nik Zawawi hina sahabat Nabi

[VIDEO] Nik Zawawi dipanggil PDRM beri keterangan berhubung isu hina sahabat Rasulullah

Ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen Pasir Puteh itu akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut, Mohd Yusoff berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan Nik Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan sahabat Nabi dengan istilah ‘bapa ceti; dan ‘kaki zina’ dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu.

Beliau turut mengakui kurang cermat dalam penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi serta menyinggung perasaan pelbagai pihak.

Jumaat lalu, beliau tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button