Kabinet kecam keras Nik Muhammad Zawawi hina sahabat Nabi
PUTRAJAYA – Kabinet mengecam keras kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan ceramahnya yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa menyentuh peribadi sahabat Nabi Muhammad SAW di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sama sekali tidak boleh diterima.
Kata Fahmi, Kabinet menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan pihak berkuasa agama untuk menyiasat perkara itu.
“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.
“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Hari ini, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














