LUAR NEGARA

Ahli Parlimen Mexico ditemukan maut dengan kesan tembakan

MEXICO CITY – Seorang ahli Parlimen persekutuan Mexico, Zenyazen Escobar ditemukan maut dengan kesan tembakan di sebuah lebuh raya di negeri Veracruz.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, Setiausaha Kerajaan Veracruz, Ricardo Ahued berkata, Escobar ditemukan di dalam kenderaannya bersama sepucuk senjata api yang berada berhampiran mayatnya.

Bagaimanapun, Ahued berkata pihak berkuasa belum dapat mengesahkan sama ada kematian itu berpunca daripada bunuh diri atau dibunuh.

escobar
Seorang anggota Polis Persekutuan berdiri berhampiran kenderaan polis di lokasi mayat Escobar ditemui di dalam sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam di lebuh raya Veracruz-Xalapa.

“Kematian itu berpunca daripada senjata api dan kami tidak boleh membuat sebarang andaian,” katanya sambil memaklumkan pejabat pendakwa raya negeri telah membuka siasatan.

Ahued turut menolak kemungkinan kenderaan Escobar menjadi sasaran serangan, dengan alasan tiada tanda menunjukkan berlaku serangan terhadap kenderaan berkenaan.

“Ia bukan serangan kerana kenderaan itu berada di bahu jalan dan tiada tanda menunjukkan berlaku serangan lebih besar terhadap kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Escobar ditemukan berada di tempat duduk pemandu, manakala media tempatan melaporkan gambar di lokasi menunjukkan senjata api berada di antara kedua-dua kakinya.

Escobar yang pernah berkhidmat sebagai guru dan pemimpin kesatuan sekerja, dipilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Mexico pada September 2024.

Veracruz merupakan antara negeri paling ganas di Mexico susulan kegiatan kumpulan jenayah terancang, termasuk sindiket penyeludupan dadah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button