Kanak-kanak dua tahun ditemukan meninggal dunia dalam kereta
Dipercayai ditinggalkan dalam kereta selama 9 jam
SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang sebuah bank dekat Jalan Tunku Hassan, di sini petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mangsa dikatakan ditinggalkan dalam kenderaan itu sejak pukul 8 pagi dan hanya disedari pada pukul 5 petang.
“Pihak polis menerima paggilan MERS 999 kira-kira pukul 6.15 petang daripada orang awam memberitahu terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia di dalam sebuah kereta.
“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna putih dan dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu oleh ibunya seawal 8.00 pagi.
“Difahamkan ibu mangsa terlupa untuk menghantar mangsa ke tempat pengasuh. Kejadian hanya disedari ibu mangsa kira-kira pukul 5 petang selepas selesai waktu bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan jasad mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Tegas beliau, orang awam disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








