SMK Bandar Utama Damansara 4 mula guna pengimbas logam demi keselamatan pelajar
PETALING JAYA – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 4 yang menyaksikan tragedi berdarah pelajar mati ditikam baru-baru ini mula mengambil langkah keselamatan dengan menggunakan pengimbas logam di pintu masuk sekolah.
Penggunaan alat pengesan barang berbahaya dan terlarang di pintu masuk sekolah itu dikongsikan oleh pengguna Facebook, Sharil Azri yang memuji inisiatif pihak sekolah dalam memastikan keselamatan dan persekitaran yang lebih selamat kepada semua warga sekolah.
Menurutnya, alat pengimbas logam atau metal detector itu juga dapat mengelak pelajar daripada membawa masuk telefon bimbit atau rokok elektronik (vape) ke sekolah.
“Dalam usaha menjadikan sekolah tempat yang selamat semula, pihak sekolah telah menggunapakai ‘metal detector’ dan melakukan saringan kepada anak-anak sebaik tiba di sekolah.
“Ia bagi mengesan jika ada bahan terlarang dibawa ke sekolah,” tulisnya di laman Facebook.

Sharil turut menasihati ibu bapa agar menasihati anak-anak supaya tidak membawa barangan yang dilarang dan sentiasa mematuhi peraturan sekolah.
“Mak ayah di rumah perlu berperanan, selalu bersembang dan ambil tahu apa yang anak-anak lalui setiap hari di sekolah. Mereka perlukan perhatian kita pada fasa kehidupan ini,” katanya.
Sharil turut menyeru masyarakat agar kembali mengamalkan semangat kejiranan dan hubungan erat seperti dahulu bagi membantu membentuk generasi muda yang berakhlak dan berilmu.
“Kita sudah terlalu lama tidak hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi di bandar. Kita harmonikan kembali hubungan ini. Ingatkan anak-anak supaya sentiasa jadi insan yang baik dan berilmu, kedua-duanya mesti seiring,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, beliau menambah bahawa penggunaan pengimbas logam di sekolah sekitar Lembah Klang sebenarnya telah mula dilaksanakan sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan terhadap pelajar yang membawa vape dan telefon bimbit ke sekolah.
Inisiatif ini disambut baik oleh netizen yang melihatnya sebagai satu langkah wajar dalam memastikan keselamatan serta disiplin pelajar sentiasa terpelihara.
Dalam insiden tragis 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 maut akibat ditikam oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 di dalam tandas sekolah.
Kejadian menyayat hati itu mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah dan mendorong pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pendidikan serta komuniti setempat, mempertingkat langkah keselamatan di institusi pendidikan seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








