BERITA SEMASA

Proses panjang tuntut pampasan peluru berpandu Norway

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan membayangkan usaha mendapatkan ganti rugi susulan pembatalan perolehan peluru berpandu ‘naval strike missile’ (NSM) akan mengambil masa panjang, kata Menteri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, usaha itu bertambah sukar kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu itu.

“Kita sudah mengemukakan permintaan supaya mereka membantu melalui pelbagai peringkat, termasuk perdana menteri, menteri luar dan saya sendiri.

“Namun, mereka langsung tidak membantu kita dalam usaha mendapatkan keputusan yang dapat memberi serta melindungi hak dan kepentingan kita.

“Jadi, kita terdedah hanya untuk membuat tuntutan terhadap pihak syarikat. Kita tahu apabila berhadapan dengan syarikat, mereka akan menggunakan pelbagai alasan dan sebagainya.

“Kita nampak ini akan menjadi satu proses yang panjang untuk mendapatkan penyelesaian kepada tuntutan kita,” katanya menurut Berita Harian, di Kuala Lumpur.

Malaysia memesan sistem persenjataan itu daripada Kongsberg Defence & Aerospace di bawah kontrak pada 2018 untuk melengkapi enam kapal tempur pesisir (LCS), namun kerajaan Norway telah membatalkan permit eksport tersebut pada Mei lalu, atas alasan eksport teknologi pertahanannya akan dihadkan kepada ‘sekutu dan rakan kongsi terdekat’.

Kerajaan menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion daripada Kongsberg bagi kerugian langsung dan tidak langsung memandangkan kerajaan telah pun menjelaskan 95% daripada harga perolehan RM634 juta.

Pada Jun lalu, Khaled berkata, Malaysia sedang menilai sistem peluru berpandu baharu dari Itali, Jepun, Perancis, Turki, dan Korea Selatan.

Semalam, beliau memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang memperuntukkan sehingga lebih RM1 bilion bagi sistem peluru berpandu baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button