IPU Serian mula menurun, hujan lebat bantu redakan jerebu di beberapa kawasan Sarawak
KUCHING – Selepas melalui detik mencemaskan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak ke paras berbahaya 521, Bahagian Serian mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan kurang 24 jam selepas darurat diisytiharkan.
Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 6 pagi Sabtu menunjukkan bacaan IPU di Serian menurun kepada 413, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penduduk yang berdepan situasi jerebu terburuk dalam sejarah kawasan itu.
Perkembangan positif tersebut turut disokong hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa bahagian di Sarawak sejak malam Jumaat, membantu memperbaiki kualiti udara di Kuching, Samarahan dan Sri Aman.
Kuching merekodkan bacaan IPU 286, Samarahan 279 manakala Sri Aman 261, namun ketiga-tiga kawasan itu masih berada pada tahap sangat tidak sihat.
Walaupun keadaan menunjukkan sedikit peningkatan, ancaman jerebu masih belum berakhir apabila beberapa kawasan lain termasuk Samalaju, Bintulu, Mukah dan Sarikei terus merekodkan bacaan tidak sihat.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan terus mematuhi langkah keselamatan dengan memakai pelitup muka, mengehadkan aktiviti luar dan memastikan tubuh kekal terhidrat.
Krisis jerebu yang menyelubungi Sarawak ketika ini dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka rentas sempadan yang diburukkan lagi oleh cuaca kering akibat fenomena Super El Nino.
Susulan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam, Mesyuarat Penyelarasan Operasi Bencana Darurat akan diadakan di Pejabat Residen Serian pagi ini bagi memperkukuh tindakan menangani krisis yang menjejaskan ribuan penduduk.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







