Kebakaran paip gas: JAS sahkan kualiti udara terkawal
PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa tujuh stesen pengawasan kualiti udara terdekat tidak mengesan sebarang keadaan abnormal susulan kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas Petronas di Putra Heights semalam.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pemantauan turut dilakukan di kawasan kediaman terjejas termasuk Kampung Kuala Sungai Baru.
“Pengawasan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas CEREX di lokasi terhampir telah dipasang bagi mencerap status kualiti udara semasa.
“Setakat ini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) masih berada dalam kategori sederhana dan tiada keadaan abnormal dikesan susulan insiden itu,” memetik laporan SH online.
Setakat pukul 12 tengah hari, kadar IPU di Putrajaya mencatatkan bacaan 58 manakala Shah Alam merekodkan 53, Petaling Jaya 46, Klang 56, Cheras 52, Johan Setia 54 dan Batu Muda, Kuala Lumpur 50. IPU dikategorikan sebagai sihat bagi bacaan 0 hingga 50, sederhana bagi bacaan 51 hingga 100, tidak sihat bagi bacaan 101 hingga 200, sangat tidak sihat bagi bacaan 201 hingga 300, dan berbahaya bagi bacaan melebihi 300.
Wan Abdul Latiff turut berkata, pemantauan menggunakan CEREX dijalankan di Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2, yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Bacaan setakat 12 tengah hari mendapati tiada gas toksik dikesan dan paras kualiti udara masih normal.
“JAS juga telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan melalui darat dan udara menggunakan dron selain memantau bacaan IPU secara berterusan,” katanya lagi.
Menurut beliau, koordinasi antara agensi berkaitan turut dipertingkatkan bagi menangani situasi itu secara menyeluruh.
IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS pada jam 12 tengah hari menunjukkan 46 stesen mencatatkan status kualiti udara baik, manakala 22 stesen lagi berada pada tahap sederhana. Tiada stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat.
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini melalui laman sesawang JAS di http://leqms.doe.gov.my atau memuat turun aplikasi MyJAS EQMS di Google Play.
Sebarang nasihat kesihatan dan langkah pencegahan semasa jerebu boleh dirujuk di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di www.moh.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















