Jemaah haji terima al-Quran sebagai tanda penghargaan kerajaan Saudi
RIYADH — Kerajaan Arab Saudi mengagihkan lebih 2.5 juta naskhah al-Quran kepada para jemaah haji sebagai hadiah perpisahan dan tanda penghargaan daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meraikan para tetamu Allah sebelum mereka berangkat pulang ke negara masing-masing.
“Langkah ini adalah simbol komitmen Arab Saudi dalam menjunjung tinggi kesucian Islam serta menghormati kehadiran para jemaah dari seluruh dunia.
“2,521,380 naskhah al-Quran telah dicetak melalui Kompleks Raja Fahd untuk Percetakan al-Quran di Madinah, melibatkan pelbagai saiz dan terjemahan dalam pelbagai bahasa utama dunia.
“Usaha ini bertujuan memastikan setiap jemaah menerima mushaf al-Quran sebagai hadiah rohani yang boleh dibawa pulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak kementerian turut menegaskan pengagihan mushaf itu bukan sahaja memperkukuh peranan Arab Saudi sebagai pelindung dua tanah haram, malah memperlihatkan nilai ihsan dan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada jemaah haji.
“Inisiatif ini menzahirkan prinsip hospitaliti Islam yang diamalkan kerajaan bermula daripada ketibaan jemaah di tanah suci sehinggalah mereka kembali ke tanah air masing-masing,” ujarnya.
Inisiatif berterusan itu juga seiring dengan visi Arab Saudi dalam memperkukuh imej sebagai negara yang senantiasa mendahulukan kebajikan dhuyufurrahman, selaras dengan misi dan matlamat transformasi perkhidmatan haji negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















