Jemaah haji dinasihat elak keluar dari Mekah sebelum wukuf
MEKAH – Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak keluar dari Kota Mekah sebelum wukuf di Arafah bagi mengelakkan pelanggaran hukum ihram serta dikenakan dam tambahan.
Pakar Rujuk Haji, Dr Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith berkata, perkara itu penting terutama bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattu’ dan bercadang keluar ke lokasi seperti Taif sebelum kemuncak ibadah haji.
Menurutnya, jemaah yang keluar melebihi dua marhalah atau lebih 81 kilometer dan masuk semula ke Tanah Haram tanpa berniat ihram haji atau umrah boleh dikenakan dam isa’ah tertib dan taqdir iaitu menyembelih seekor kambing.
“Bagi jemaah haji tamattu’ yang telah selesai umrah, mereka wajib berniat ihram semula sama ada ihram haji atau umrah apabila mahu masuk semula ke Mekah selepas keluar ke Taif.
“Jika mereka masuk tanpa berniat ihram di miqat, mereka dianggap melanggar miqat tanpa ihram dan dikenakan dam tambahan,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau berkata, situasi itu tidak berlaku kepada jemaah haji ifrad dan qiran kerana mereka masih berada dalam keadaan berihram haji sepanjang tempoh tersebut.
Mohd Sirajuddin turut menjelaskan bahawa Resolusi Muzakarah Kebangsaan Kali Ke-36 Musim Haji 1441H/2019M menetapkan, jemaah haji tamattu’ yang keluar ke Taif sebelum wukuf perlu berniat ihram di Qarnul Manazil sekiranya mahu kembali ke Mekah untuk meneruskan ibadah haji.
Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan jemaah menanggung dua dam iaitu dam tamattu’ dan dam kerana melanggar miqat tanpa ihram.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan jemaah agar mematuhi peraturan kerajaan Arab Saudi yang kini memperketat pemeriksaan di pintu masuk Mekah dan hanya membenarkan pemegang visa haji berada di Tanah Suci.
“Walaupun ada jemaah memahami hukum dan mampu bergerak sendiri, soal maslahat umum dan pematuhan arahan pihak berkuasa perlu diutamakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








