BERITA SEMASA

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MINA – Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah negara setakat ini sebanyak lapan orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mangsa terbaharu dikenal pasti sebagai Abd Yazid Matt, 65, yang berasal dari Kangar, Perlis.

“Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 11.22 malam di Hospital Pakar Al Noor, Makkah.

“Beliau merupakan jemaah bagi kumpulan KT100 dan menginap di Maktab 82, Al Olayan Al Haram,” katanya kepada media ketika melawat khemah penginapan jemaah haji Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im, Abd Yazid sempat menunaikan wukuf di Arafah sekali gus melengkapkan rukun haji beliau.

“Insya-Allah, rukun haji beliau telah sempurna,” tambahnya.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi waris mangsa dan akan mengurus sepenuhnya keperluan berkaitan pengurusan jenazah serta kebajikan jemaah terbabit.

Mohd Na’im bersama seluruh pengurusan tertinggi TH turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta segala amal ibadahnya diterima Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button