TH keluar surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah mulai 21 September
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan surat tawaran haji secara berperingkat kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1448H/2027M bermula 21 September ini.
TH dalam kenyataan memaklumkan, bakal jemaah yang terpilih perlu memastikan baki simpanan dalam akaun TH sekurang-kurangnya RM15,000 bagi melayakkan diri menerima surat tawaran berkenaan.
Selain itu, mereka diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan sebagai antara syarat untuk menunaikan ibadah haji.
“Bakal haji dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat peribadi dan membuat semakan giliran melalui THiJARI atau cawangan TH terdekat,” menurut kenyataan itu.
TH turut akan menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid di seluruh negara mulai 25 September ini bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan ilmu sebelum menunaikan ibadah haji.
Menurut TH, pengesahan awal kuota rasmi sebanyak 31,600 jemaah oleh Kerajaan Arab Saudi memberi ruang seluasnya kepada bakal jemaah untuk merancang persediaan kewangan, kesihatan dan kefahaman ilmu selaras dengan konsep istito’ah (kemampuan).
Bagi musim haji 1448H/2027M, TH mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang serta kadar Bayaran Haji bagi jemaah Muassasah untuk tahun keempat berturut-turut, meskipun berdepan tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos perkhidmatan di Tanah Suci.
Mengenai kuota rasmi, TH berkata pengesahan awal berkenaan memberi ruang seluasnya kepada bakal jemaah merancang persediaan kewangan, kesihatan dan kefahaman ilmu mengikut konsep istito’ah (kemampuan).
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 90 peratus daripada kos haji adalah berkaitan penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
“TH berjaya mengekalkan kos haji dengan mengekang kenaikan kos penerbangan melalui kontrak jangka panjang selama lima tahun bagi mengawal risiko ketidaktentuan harga demi kepentingan jemaah. Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Asia Barat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








