SUKAN

Terbuka Perancis: Zafrul bangga tiga beregu negara mara ke final

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pemain negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis apabila tiga pasangan Malaysia beraksi di pentas final, dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara beregu lelaki.

Tengku Zafrul berkata, kejayaan Wei Chong-Kai Wun amat bermakna apabila mereka menamatkan penantian 22 tahun Malaysia untuk meraih gelaran beregu lelaki kejohanan berkenaan.

Screenshot

Beliau turut memuji semangat juang pasangan itu yang bangkit selepas tewas set pertama untuk menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, 13-21, 21-15, 21-7 pada aksi final.

“Tahniah Wei Chong-Kai Wun! Ketinggalan set pertama, tapi bangkit dengan penuh semangat untuk menewaskan Sze Fei-Izzuddin.

“Bukan mudah bila dua pasangan negara bertemu di final. Satu pasangan mesti menang, satu lagi mesti kalah. Tapi kali ini, kedua-duanya dah buat Malaysia bangga!” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Tengku Zafrul turut memuji pencapaian beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang sekali lagi mara ke final selepas muncul juara Terbuka Denmark minggu lalu.

Menurutnya, bukan mudah untuk pemain mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi apabila perlu mengharungi kejohanan berturut-turut, sekali gus menjadikan pencapaian Pearly-Thinaah sesuatu yang wajar dibanggakan.

“Setinggi penghargaan buat gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atas usaha mereka dalam mengharungi persaingan di pentas antarabangsa,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebagai Presiden BAM, beliau gembira dengan pencapaian berkenaan, namun lebih teruja melihat semakin ramai pemain Malaysia mampu bersaing sehingga ke peringkat akhir kejohanan utama dunia.

“Sebagai Presiden BAM, memang saya gembira dengan pencapaian mereka. Tapi sebagai peminat badminton, saya lebih seronok tengok semakin ramai pemain Malaysia mampu bersaing sampai ke final.

“Tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pasukan sokongan. Yang menang kita raikan, yang belum berjaya kita terus beri semangat.

“Teruskan momentum ini! Malaysia boleh!” katanya.

Beliau turut berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat kepada pemain negara untuk terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan momentum positif dalam kejohanan akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button