POLITIK

Tengku Zafrul tolak PRK buka laluan untuk jawatan Persekutuan, Negeri

CYBERJAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak bersetuju dengan langkah mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi membuka laluan kepada jawatan dalam peringkat Persekutuan ataupun Negeri.

Beliau yang kini berada di Mekah bagi menunaikan haji berkata, ini kerana langkah berkenaan akan mengambil masa dan pada masa yang sama melibatkan penggunaan wang rakyat.

Tambahnya, penglibatan beliau dalam mana-mana PRK juga tidak pernah dibincangkan dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember tahun ini.

“Berkenaan kedudukan sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu jawatan,“ katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Tindakan Tengku Zafrul berundur daripada UMNO dan menyertai PKR sebelum ini sudah banyak mencetuskan polemik dalam kalangan penyokong dan pemerhati politik negara.

Beliau sekali lagi menegaskan, keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi sepenuhnya dan bukan atas dasar paksaan mana-mana pihak.

“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.

“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, rakan-rakan di dalam UMNO, dan akar umbi yang sentiasa menyokongnya sepanjang bersama UMNO.

“Doakan saya terus istiqamah dalam perjuangan berbekalkan semangat baharu sebaik pulang dari Tanah Suci Makkah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button