BERITA SEMASA

Janna Nick tamatkan Sarjana dengan cemerlang, rahsiakan pengajian di UK kerana bimbang penyakit ain

SHAH ALAM – Pelakon Nurul Jannah Muner atau lebih dikenali sebagai Janna Nick memilih untuk merahsiakan pengajiannya di United Kingdom (UK) selama setahun kerana bimbang terkena penyakit ain.

Memetik laporan Kosmo, Janna, 31, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan perjalanan pengajiannya tidak terganggu, selain hanya mendedahkan perkara tersebut selepas berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Hanya rakan terdekat mengetahui mengenai pengajiannya dalam bidang perfileman, manakala peminat tidak mengetahui secara terperinci mengenai bidang yang diceburinya sepanjang berada di UK.

“Kalau cakap tentang tahap takut, saya tidak mahu kongsi fasal sambung pelajaran ini sebab takut kena penyakit ain.

“Setahun saya tak cerita apa-apa sehinggalah dapat keputusan. Walaupun saya selalu buat konten media sosial dan tentang kehidupan kami di sana, saya tak kongsikan tentang pergi belajar,” katanya.

Related Articles

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet bersama calon Anugerah Melodi Terhangat 2026, di sini, semalam.

Janna berkata, dia sememangnya mengelak daripada berkongsi perkara yang benar-benar diingininya menerusi media sosial.

Menurutnya, pendekatan itu diambil bagi membolehkan dia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap matlamat yang ingin dicapai.

“Kawan terdekat tahu saya sambung belajar, tapi peminat tidak. Mereka tahu saya sambung belajar tetapi tidak tahu saya sambung apa, bidang apa dan bagaimana perjalanan itu.

“Saya kini sudah kembali ke Malaysia selepas berjaya menamatkan pengajian Master of Arts in Filmmaking di UK dengan keputusan cemerlang,” tambahnya.

Bagaimanapun, dia dijangka kembali ke negara berkenaan bagi menghadiri majlis graduasi.

“Saya sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perfileman di UK dengan keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah penat lelah saya berbaloi. Saya tak sangka semua ini sebenarnya tetapi syukur Allah SWT izinkan untuk perkara ini terjadi,” ujarnya.

Janna turut membuka kemungkinan untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan sudah mula mencari institusi yang sesuai untuk meneruskan pengajian.

Namun, masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyambungnya di Malaysia atau luar negara.

“Ada perancangan. Selepas dapat keputusan, saya terus cari tempat yang boleh sambung PhD.

“Tidak tahu lagi sama ada nak sambung di Malaysia atau sebaliknya. Kalau ada rezeki lebih, kita pergi ke tempat lain,” katanya.

Sejak September tahun lalu, Janna dilihat aktif berkongsi mengenai kehidupannya di London bersama suaminya, pelakon Dini Schatzmann.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut lebih banyak memaparkan kehidupan harian mereka sebagai rakyat Malaysia di sana dan tidak mendedahkan perjalanan Janna sebagai pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button