SUKAN

Stadium Juara berpotensi jadi pusat latihan tambahan skuad badminton negara

KUALA LUMPUR – Stadium Juara di Bukit Kiara berpotensi dijadikan pusat latihan tambahan bagi skuad badminton negara untuk menampung keperluan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, cadangan itu sedang diteliti selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengemukakan permohonan bagi menggunakan kemudahan berkenaan.

Menurutnya, kedudukan Stadium Juara yang berhampiran ABM menjadikannya lokasi sesuai kerana dapat memudahkan urusan logistik selain menjimatkan masa perjalanan pemain dan jurulatih.

“Perkara ini ada dibangkitkan ketika kunjungan BAM ke pejabat saya kira-kira dua minggu lalu. Bagi saya, Stadium Juara sangat sesuai kerana lokasinya dekat dengan ABM.

“Ia akan memudahkan urusan pengangkutan selain membantu menjimatkan masa atlet untuk bergerak antara pusat latihan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke ABM di Bukit Kiara hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau fasiliti latihan di ABM selain beramah mesra dengan pemain skuad kebangsaan dan pemain junior yang sedang menjalani latihan.

Taufiq berkata, beliau juga sudah meminta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengadakan perbincangan lanjut bersama BAM bagi meneliti cadangan penggunaan kemudahan itu.

“Insya-Allah selepas Hari Raya nanti kita akan melihat keputusan terbaik yang boleh dibuat bagi memudahkan atlet dan jurulatih menjalani latihan di sana,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan rasa kagum terhadap komitmen pemain dan jurulatih yang terus menjalani latihan walaupun ketika berpuasa.

“Dedikasi yang ditunjukkan terutama oleh atlet beragama Islam yang tetap gigih berlatih ketika berpuasa membuktikan semangat tinggi mereka untuk terus mengharumkan nama negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button