BERITA SEMASASUKAN

Lee Zii Jia umum tutup lembaran 2025, fokus persiapan saingan 2026

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, mengumumkan menutup tirai saingan sepanjang 2025 selepas menghadapi tahun yang penuh cabaran bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan kalendar kejohanan 2026.

Menurut Zii Jia, tahun ini memberikan banyak pengalaman dan pengajaran dalam mengurus kecergasan fizikal, terutamanya berikutan kesan kecederaan buku lali serta masalah belakang yang berlarutan sejak Disember tahun lalu semasa Jelajah Dunia Akhir.

“Sejak perlawanan terakhir saya di China Masters pada September, saya bersama pasukan telah bekerjasama rapat dengan pakar perubatan bagi menentukan langkah terbaik supaya saya dapat beraksi pada tahap optimum.

“Selepas mengambil kira semua maklum balas dan mendengar tubuh badan sendiri, saya rasa adalah lebih baik menutup babak 2025 dan fokus kepada 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Lee Zii Jia tolak sertai RTG, jawatankuasa hormat keputusan

Keputusan itu sekali gus menjawab tanda tanya mengenai tahap kecederaan Zii Jia, yang sebelum ini memaksanya menarik diri daripada tiga kejohanan Eropah termasuk Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Artik di Finland.

Pemenang pingat gangsa olimpik itu sempat membuat kemunculan semula pada Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac lalu, serta Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos, namun prestasinya terjejas sebelum beliau menarik diri daripada Masters China.

“Saya tetap bermotivasi dan bersemangat untuk kembali ke gelanggang. Januari sudah hampir tiba,” tambahnya, sambil mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan, pasukan, penaja dan peminat yang sentiasa menyokong sejak hari pertama.

Terdahulu, Zii Jia sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia yang dijadual berlangsung 18 hingga 23 November ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button