BERITA SEMASASUKAN

Pemain warisan Malaysia belum taraf bintang dunia – Bekas jurulatih Vietnam

HANOI – Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun Vietnam, Hoang Anh Tuan berpandangan pemain warisan skuad Harimau Malaya masih belum mencapai tahap pemain bintang, meskipun mereka memberi impak dalam kemenangan besar Malaysia ke atas Vietnam baru-baru ini.

Jurulatih berusia 57 tahun itu menegaskan kekalahan 0-4 skuad kendalian Kim Sang Sik kepada Malaysia bukan disebabkan kehebatan pemain warisan lawan, sebaliknya berpunca daripada kelemahan taktikal dan kesilapan sendiri yang dilakukan oleh pasukan Vietnam.

“Pemain naturalisasi (warisan) Malaysia ketika ini memang lebih baik berbanding pemain naturalisasi generasi terdahulu, namun mereka belum mencapai tahap bintang bola sepak dunia. Kekalahan besar tempoh hari bukan semata-mata kerana kehadiran mereka,” katanya ketika ditemu bual oleh media Vietnam, Dan Tri.

Baca juga : “Ada yang kata Malaysia tak boleh kalahkan Vietnam, tapi kami buktikan” – Peter Cklamovski

Mengulas lanjut mengenai kekalahan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu, Hoang menyifatkan barisan pemain Vietnam gagal bersaing dari segi fizikal dan mental, selain pemilihan pemain serta susunan taktikal yang dianggap tidak bersesuaian untuk menentang skuad Malaysia yang lebih bertenaga.

“Kita tahu pemain lawan memiliki kelebihan fizikal, tetapi Vietnam menurunkan terlalu ramai pemain bersaiz kecil. Ini menyebabkan kita kalah dalam banyak perebutan bola di udara. Pemain seperti Chau Ngoc Quang pula dibiarkan terlalu lama bermain sebagai penyerang walaupun tidak sesuai,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan memasukkan penyerang berpengalaman, Nguyen Tien Linh, serta penggunaan pertahanan gantian yang kurang berpengalaman, tatkala dua tonggak utama Vietnam Bui Tien Dung dan Nguyen Thanh Chung mengalami kecederaan.

“Ketika pemain seperti Viet Anh dan Thanh Binh tiada, kita sepatutnya menurunkan pemain seperti Duc Chien yang berpengalaman dan memiliki fizikal yang sesuai. Sebaliknya, pemain muda yang kurang bersedia diturunkan dan hasilnya kita dibolosi empat kali.”

Tambah Hoang, Malaysia mengambil kesempatan penuh apabila barisan serangan Vietnam gagal memberi tekanan kepada pertahanan lawan, membolehkan pemain seperti Dion Cools bebas untuk menyertai serangan sehingga menghampiri kawasan penalti Vietnam.

“Kita bermain terlalu bertahan dan tidak mempunyai serangan balas yang berkesan. Malaysia bebas menekan dan menyerang secara berterusan. Dalam beberapa situasi, pemain pertahanan mereka sendiri boleh melakukan percubaan di dalam kotak penalti kita. Ini tidak sepatutnya berlaku.”

Dalam pada itu, Hoang turut mengimbas kembali zaman kegemilangan pasukan Vietnam yang pernah beraksi seimbang menentang pasukan gergasi Asia seperti Qatar, UAE dan Iraq.

Menurutnya, kekalahan besar kepada Malaysia jelas menunjukkan kelemahan dalam aspek semangat juang dan pendekatan taktikal semasa.

“Jika Jepun yang berada di ranking tertinggi Asia pun sukar menewaskan Vietnam 4-0, bagaimana Malaysia boleh melakukannya dengan mudah? Ini jelas menunjukkan masalah terletak pada cara kita bermain, bukan semata-mata pada kekuatan lawan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button