DALAM dunia yang semakin pantas berubah, manusia tidak pernah berhenti mempelajari kemahiran baharu bagi menyesuaikan diri dengan tuntutan kehidupan.
Kita mengikuti pelbagai kelas, menghadiri kursus dan seminar, sama ada dalam tempoh singkat mahupun jangka panjang, dengan tujuan menambah ilmu dan kemahiran agar kekal relevan mengikut perubahan zaman.

Namun, dalam kesibukan mengejar ilmu dunia, kita sering terlupa bahawa terdapat satu ilmu yang sebenarnya tidak mempunyai titik akhir untuk dipelajari iaitu al-Quran.
Mempelajari al-Quran bukan sekadar proses mengenal huruf ketika usia kanak-kanak, sebaliknya satu perjalanan sepanjang hayat yang perlu berkembang seiring usia, kematangan dan keperluan seseorang.
Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, realitinya masih ramai menganggap pembelajaran al-Quran berakhir apabila seseorang berjaya mengkhatamkan bacaannya.
Persepsi ini menyebabkan sebahagian daripada kita berhenti belajar selepas melalui pendidikan asas di sekolah atau kelas mengaji ketika kanak-kanak.

Sedangkan, khatam al-Quran bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada hubungan yang lebih mendalam dengan kitab suci tersebut.
Ia sama seperti ilmu dunia yang lain. Membaca, memahami, mentadabbur dan mengamalkan kandungan al-Quran merupakan proses berterusan yang memerlukan kesungguhan, keikhlasan dan istiqamah sepanjang hayat.
Apa yang lebih menyedihkan apabila ada yang terus meninggalkan pembelajaran al-Quran selepas berjaya mengkhatamkannya buat kali pertama.
Bagi sesetengah orang, pembelajaran al-Quran dianggap memadai dengan sekadar mengenal huruf dan mampu membaca. Akibatnya, tahap bacaan serta pemahaman mereka tidak banyak berubah sejak kecil hingga meningkat usia.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila al-Quran hanya dibaca seminggu sekali, sebulan sekali atau pada majlis-majlis tertentu.
Hakikatnya, pembelajaran al-Quran perlu berkembang mengikut peringkat usia dan kematangan seseorang.
Bagi kanak-kanak, fokus utama adalah mengenal huruf hijaiyah, mempelajari asas tajwid dan membaca dengan betul.
Apabila meningkat remaja, penekanan boleh diberikan kepada kelancaran bacaan, ketepatan tajwid, sebutan huruf serta usaha menghafaz ayat-ayat tertentu.

Apabila memasuki alam dewasa pula, pembelajaran al-Quran seharusnya berkembang ke tahap yang lebih mendalam, termasuk memahami makna ayat, mempelajari tafsir dan mengaitkan ajaran al-Quran dengan realiti kehidupan seharian.
Bagi golongan warga emas, hubungan dengan al-Quran pula seharusnya menjadi semakin kukuh dan berterusan. Pada fasa ini, bacaan al-Quran boleh menjadi medium mendekatkan diri kepada Allah, antaranya melalui pemahaman makna ayat dan penghayatan menerusi kelas tadabbur.
Walaupun mempelajari al-Quran sangat dituntut dalam Islam, terdapat pelbagai cabaran yang menyebabkan sebahagian masyarakat tidak meneruskannya.
Kesibukan dengan kerjaya dan tanggungjawab keluarga sering dijadikan alasan utama. Tidak kurang juga yang berasa malu untuk kembali belajar pada usia dewasa kerana bimbang dipandang rendah oleh orang lain.
Ada pula yang merasakan sudah terlambat untuk memperbaiki bacaan atau memahami al-Quran dengan lebih mendalam.
Persepsi sedemikian perlu diubah kerana menuntut ilmu agama tidak mengenal usia. Setiap usaha untuk mendekati dan mempelajari al-Quran mempunyai nilai dan ganjaran di sisi Allah.
Nabi SAW pernah berpesan kepada Abu Zar:
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya apabila kamu keluar pada waktu pagi untuk mempelajari satu ayat daripada kitab Allah iaitu al-Quran, maka ia lebih baik bagimu daripada mengerjakan solat sunat seratus rakaat.” (Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan)
Justeru, pembelajaran al-Quran perlu dilihat sebagai sebahagian daripada konsep pembelajaran sepanjang hayat yang wajar diberikan keutamaan oleh setiap Muslim.
Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan untuk tujuan ritual, tetapi merupakan panduan kehidupan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia.
Usaha memperbaiki bacaan, memahami kandungan, mentadabbur ayat dan mengamalkannya perlu menjadi proses berterusan selaras dengan perubahan zaman serta cabaran kehidupan.
Lebih penting, seseorang tidak seharusnya berasa rendah diri untuk belajar semula hanya kerana bacaannya masih belum lancar.
Apa yang utama ialah usaha, kesungguhan dan keikhlasan untuk terus memperbaiki diri. Proses pembelajaran itu sendiri merupakan satu bentuk ibadah yang wajar diteruskan.
Dalam konteks masyarakat hari ini, sudah tiba masanya budaya kembali belajar al-Quran, khususnya dalam kalangan orang dewasa, dinormalisasikan.

Kelas al-Quran untuk dewasa, program tadabbur dan pengajian tafsir perlu diperluaskan serta dipromosikan supaya lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Institusi masjid, pusat komuniti dan organisasi pendidikan juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan ruang pembelajaran yang selesa dan inklusif untuk semua peringkat umur tanpa rasa kekok atau terasing.
Kemajuan teknologi turut boleh dimanfaatkan melalui aplikasi digital dan kelas dalam talian bagi memudahkan akses kepada pembelajaran al-Quran.
Namun, perkara paling penting ialah perubahan sikap dalam diri setiap individu.
Kita perlu melihat pembelajaran al-Quran bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu keperluan yang mampu membimbing dan memberi ketenangan dalam kehidupan.
Keinginan untuk kembali belajar, walaupun bermula daripada asas, adalah satu langkah yang mulia dan tidak pernah sia-sia.
Pokoknya, tiada istilah terlambat untuk mendekati al-Quran selagi nyawa masih dikandung badan.
Akhirnya, belajar al-Quran bukan tentang seberapa cepat kita mengkhatamkannya, tetapi sejauh mana kita membina hubungan dengannya dalam kehidupan seharian.
Setiap huruf yang dibaca, setiap makna yang difahami dan setiap ajaran yang diamalkan mempunyai nilai yang besar di sisi Allah.
Oleh itu, marilah kita menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang hayat, bukan sekadar di bibir, tetapi turut hidup dalam hati dan diterjemahkan dalam setiap langkah kehidupan.
Selagi hayat masih ada, selagi itulah perjalanan bersama al-Quran tidak pernah tamat.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








