PENDAPATRENCANA

Nilai graduan bukan pada gaji tapi pada bakti

DALAM dunia yang semakin materialistik, kejayaan sering diukur dengan jumlah gaji, jenama kereta atau pangkat yang dimiliki.

Maka tidak hairanlah ramai yang menilai kejayaan seorang graduan berdasarkan jumlah gaji pertama yang diterima.

Graduan yang memperoleh pekerjaan yang bergaji tinggi dianggap lebih berjaya pada pandangan umum manakala mereka yang memilih kerjaya dalam sektor awam seperti pendidikan, kesihatan atau sosial sering dipandang rendah.

Graduan
Golongan graduan yang dikeluarkan oleh universiti setiap tahun bukan sekadar memenuhi pasaran kerja tetapi menjadi agen perubahan sosial.

Namun perspektif ini amat bercanggah dengan nilai murni yang dianjurkan oleh Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.”

Dalam Islam, nilai seseorang manusia itu tidak langsung diukur melalui kekayaan atau banyaknya harta tetapi melalui takwa, keikhlasan dan sumbangannya kepada masyarakat.

Realitinya graduan yang memilih untuk berbakti dalam sektor penting negara seperti pendidikan dan kesihatan sebenarnya sedang menunaikan amal soleh atau kebaikan yang besar nilainya di sisi Allah.

Mereka menyumbang kepada kesejahteraan ummah, membina generasi dan menjaga kebajikan masyarakat walaupun ganjaran material yang diterima tidak setimpal dengan titik peluh yang keluar.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)

Berdasarkan sabda Nabi SAW ini, jelaslah kepada kita bahawa Islam tidak meletakkan nilai seseorang pada harta yang dimilikinya tetapi pada sumbangan dan manfaat yang boleh diberikan kepada masyarakat.

Graduan tunjang agama, negara

Graduan adalah aset negara dan ummah. Mereka bukan sekadar produk akademik yang dikeluarkan oleh universiti setiap tahun untuk memenuhi pasaran kerja tetapi menjadi agen perubahan sosial.

Dalam Islam, ilmu adalah amanah. Apabila seseorang menuntut ilmu, tanggungjawabnya adalah mengamalkannya untuk diri sendiri dan menyebarkannya demi kebaikan bersama tidak di kira di mana individu tersebut bekerja.

Bahkan Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata bahawa beliau lebih suka melihat orang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh daripada duduk beribadah tanpa memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau sendiri sering melakukan kerja-kerja berat seperti membantu memunggah barang atau mengurangkan beban kerja hamba abdi.

Hal ini direkodkan oleh Imam Malik RA dalam Kitab beliau al-Muwatta yang menyebutkan:

“Sesungguhnya Umar ibn al-Khattab akan pergi ke perkampungan luar Madinah pada setiap hari Sabtu. Beliau akan memerhatikan sekiranya ada hamba yang bekerja lebih dari kemampuannya, maka Umar akan mengurangkan bebanan kerja tersebut.”

Seorang guru mungkin tidak bergaji tinggi tetapi dia membentuk generasi masa depan.

Seorang jururawat mungkin bekerja dalam syif panjang dengan imbuhan yang sederhana tetapi dia menyelamatkan nyawa dan memberi harapan kepada pesakit.

Seorang pegawai kebajikan mungkin tidak dikenali ramai tetapi dia menjadi pelindung kepada golongan rentan dan terpinggir.

Dalam situasi ini, nilai bakti graduan tidak diukur dengan wang ringgit. Ia diukur dengan impak, dedikasi dan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan negara.

Oleh itu dalam Islam, pekerjaan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain adalah ibadah dan lebih dituntut.

Mengubah naratif kejayaan

Rasulullah SAW sangat mengambil berat terhadap golongan muda. Baginda sentiasa membimbing mereka ke arah ketaatan kepada Allah dan memberi nasihat kepada golongan ini agar menjalani kehidupan yang diberkati.

Malah Allah SWT turut menjanjikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

”Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Pemimpin yang adil dan seorang pemuda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah.. ” (sehingga akhir hadis)

Justeru, sudah tiba masanya kita mengubah naratif kejayaan dalam masyarakat.

Kejayaan bukan sekadar tentang gaji lumayan tetapi tentang sumbangan kepada masyarakat dan keberkatan hidup.

Islam mengajar kita untuk menilai seseorang bukan pada harta tetapi pada akhlak, amanah dan manfaat yang dibawa kepada orang lain.

Kita perlu memupuk generasi masyarakat yang menghargai amal, amanah dan manfaat agar lebih ramai graduan berani berkhidmat dalam sektor penting dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.

Kejayaan bukan sekadar tentang gaji lumayan tetapi tentang sumbangan kepada masyarakat dan keberkatan hidup seperti para jururawat dalam bidang kesihatan. – Foto Hiasan

Menilai graduan berdasarkan gaji semata-mata adalah pendekatan yang sempit dan tidak selari dengan nilai Islam.

Sebaliknya, kita perlu mengangkat nilai bakti, keikhlasan dan sumbangan sosial sebagai ukuran kejayaan sebenar.

Dengan itu kita bukan sahaja dapat membina masyarakat yang adil dan sejahtera tetapi juga melahirkan insan yang dekat dengan Tuhan dan bermanfaat kepada manusia.

Kesimpulannya, graduan masa kini bukan sahaja menjadi tunjang agama malah harapan negara. Mereka adalah pemacu utama dalam membentuk masa depan negara yang lebih progresif.

Dalam dunia yang semakin kompetitif, keperluan terhadap graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing amat mendesak terutamanya dalam sektor kritikal seperti teknologi, kesihatan, pendidikan dan kejuruteraan.

Malah, majikan kini mencari graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga memiliki kemahiran insaniah, kebolehan berkomunikasi serta keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif.

Graduan yang bersedia menghadapi cabaran kerjaya tidak kira berapa jumlah gaji yang diterima akan menjadi tunjang kepada kemajuan negara, menjadikan sesebuah negara lebih berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.

ARTIKEL OLEH:

DR AMANI NAWI

DR AMANI NAWI

Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button