Hantaran sensitif: Pemilik akaun ‘amirulmukminin1648’ letak jawatan
KUALA LUMPUR – Individu yang memuat naik hantaran tidak wajar di platform Threads sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat dilaporkan telah meletakkan jawatan susulan kontroversi berkenaan.
Kerajaan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius dan menzahirkan rasa kesal terhadap hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘amirulmukminin1648’ pada 26 Februari lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dalam kalangan kakitangan awam, khususnya yang melibatkan isu sensitif sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kenyataan tersebut amatlah tidak wajar, tidak bertanggungjawab, mengguris sensitiviti dan telah mengundang kemarahan masyarakat.
“Pemilik akaun tersebut juga telah menzahirkan kekesalan, memohon maaf secara terbuka dan telah juga meletakkan jawatan atas kecuaian ini,” katanya.


Terdahulu, hantaran yang tular dan telah dipadamkan itu didakwa dibuat oleh seorang pegawai khas kepada Dr Mohammad Fahmi sendiri yang mempertikaikan ‘kekecohan’ susulan tindakan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) memijak al-Quran, baru-baru ini.
Menerusi hantaran berkenaan, pemilik akaun tersebut seolah-olah mengandaikan perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang kesan mahupun pada ‘fizikal atau tekanan emosi’, sekali gus mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








